Dalam kemelut isu kaum, lebih banyak majlis antara agama diperlukan


Noel Achariam

Demi masa depan Malaysia, rakyat perlu berusaha memahami dan menghormati satu sama lain ketika isu perkauman bertambah hangat dalam masyarakat. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2019.

KETIKA isu perkauman menghiasi media negara, sebuah pameran kesejahteraan antara agama yang diadakan di Chruch of Assumption di Petaling Jaya hujung minggu ini dialu-alukan Ahli Parlimennya Maria Chin Abdullah.

Pameran bertajuk “Who is Your Neighbour?” menampilkan bahan berkaitan agama utama di Malaysia dirasmikan Maria hari ini.

Berdasarkan ,aklumat pameran yang dikongsi pengunjung gereja, tujuan pameran itu diadakan adalah untuk membentuk pemahaman dan kehormatan yang lebih baik dalam masyarakat berbilang agama.

“Pameran ini adalah peringatan yang baik. Bagus untuk kita semua supaya boleh duduk bersama dalam rumah ibadat dan bercakap tentang cabaran yang kita hadapi.

“Diharapkan pameran sebegini akan mengingatkan semua yang kita sudah hidup bersama-sama secara aman damai sejak sekian lama dan perlu terus hidup bersatu,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Pameran akan diadakan di gereja itu pada hari ini dan esok sahaja, bermula jam 10 pagi.

Maria menambah yang mustahak untuk semua rakyat Malaysia hidup bersama-sama dengan aman dalam kepelbagaian kaum dan agama di negara ini.

“Lebih banyak perlu dilakukan untuk mempromosi perpaduan kaum dalam aspek kepercayaan, hak, tradisi dan prinsip kita.

“Semua orang perlu berperanan dan berkata yang mereka bangga jadi rakyat Malaysia dan menunjukkan bagaimana kita menghargai negara kita terutamanya (Hari) Merdeka tidak lama lagi.”

Maria Chin Abdullah menegaskan rakyat perlu berusaha mengukuhkan perpaduan ketika negara diancam isu kaum. – Gambar fail The Malaysian Insight, 24 Ogos, 2019.

Tambahnya, Malaysia mencapai Kemerdekaan disebabkan perpaduan pelbagai kaum dan menghormati satu sama lain.

“Kita perlu terus ada semangat perpaduan dan maju ke depan bukannya mundur ke belakang dan berhenti menafsir semua isu daripada kanta perkauman.

“Kita sebaliknya perlu meneliti bagaimana kita boleh menyelesaikan sebarang isu perkauman bersama-sama dan tidak mencetuskan sebarang sentimen perkauman.” – 24 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen