Pelarian Rohingya di Bangladesh solat hajat, mohon keselamatan 


Pelarian Rohingya solat hajat di masjid Khadijatul Kubra di Kutupalong iaitu kem pelarian terbesar di dunia, berdoa semoga kerajaan Myanmar 'lembut hati' kepada mereka. – Gambar AFP, 24 Ogos, 2019.

IMAM-IMAM Rohingya mengadakan solat hajat semalam, memohon doa agar mereka selamat pulang ke Myanmar hujung tahun ini, selepas dua tahun melarikan diri ke Bangladesh.

Seramai 740,000 pelarian Rohingya dari Rakhine, Myanmar melarikan diri dari keganasan tentera pada Ogos 2017. 

Seorang imam di masjid Khadijatul Kubra di Kutupalong iaitu kem pelarian terbesar di dunia, berdoa semoga kerajaan Myanmar “lembut hati” kepada mereka.

“Marilah kita balik dengan aman,” kata Abdul Hakim.

Pada 2017, Bangladesh dan Myanmar menandatangani perjanjian penghantaran balik (repatriasi) tetapi dua usaha untuk membawa pulang pada November dan yang terbaru pada minggu ini gagal kerana pelarian-pelarian ini enggan meninggalkan kem.

Mereka enggan pulang melainkan diberi jaminan keselamatan dan kerakyatan. Selain itu, mereka juga menuntut orang Islam Rohingya di Internally Displaced Personnel (IDP) di Myanmar dibebaskan.

“Kami mohon keadilan dari Allah atas apa yang terjadi kepada kami. Kami mahu pulang. Tetapi hanya apabila tuntutan kami dipenuhi. Saya berdao untuk itu hari ini,” kata Safiul Alam.

Iman itu juga meminta pelarian menyertai himpunan besar-besaran di kem esok sempena tahun kedua mereka melarikan diri dari Bangladesh.

“Sekali lagi, kami mahu beritahu dunia mengenai tuntutan kami,” katanya. – AFP, 24 Ogos, 2019.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen