PEKERJA asing sama ada berdokumen atau tidak perlu dimasukkan ke dalam penilaian kerajaan ke atas kadar kemiskinan, sebagai sebahagian daripada pembaharuan dasar negara untuk membantu orang miskin, menurut pakar Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Ini kerana bilangan warga asing yang ramai serta penglibatan mereka dalam ekonomi menjejaskan taraf hidup dan kadar upah bagi rakyat Malaysia, kata Pelapor Khas Kemiskinan dan Hak Asasi Manusia PBB Philip Alston.
Alston ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja 11 hari di Malaysia berkata, pekerja asing terutamanya yang tidak mempunyai dokumen mereka mudah dieksploitasi oleh majikan dan ejen pekerja yang tidak bertanggungjawab.
Statistik terkini kerajaan menunjukkan populasi pekerja asing berdokumen ini adalah pada sekitar 1.93 juta manakala yang tidak berdokumen adalah dua kali ganda jumlah itu.
Terdapat juga dakwaan bahawa jumlah warga asing di negara ini sama ada masuk secara sah atau tidak, atau pelarian, mencecah enam juta orang.
“Berjuta warga asing termasuk pendatang, pelarian dan mereka yang tanpa kerakyatan tidak dibenarkan mendapat pendidikan di sekolah kerajaan dan penjagaan kesihatan,” kata Alston.
“Mereka tidak boleh bekerja secara sah tetapi tidak dimasukkan ke dalam statistik kemiskinan rasmi.
“Enam juta daripada populasi 31 juta penduduk itu banyak. Kehadiran mereka, layanan yang mereka terima dan bagaimana mereka dibayar upah boleh menjejaskan gaji rakyat Malaysia,” katanya.

Sepanjang lawatan kerja 11 hari di Malaysia, Alston bertemu pelbagai jenis kumpulan di Sabah, Sarawak, Kuala Lumpur dan Kelantan.
Melalui lawatan itu juga Alston bertemu pegawai kerajaan, ahli akademik, NGO serta mereka yang terjejas akibat kemiskinan di bandar dan luar bandar.
Tempat-tempat yang dilawati Alston meliputi dapur umum (soup kitchen), rumah perlindungan wanita, pusat krisis kanak-kanak, flat kos rendah, pusat jagaan orang kurang upaya, perkampungan Orang Asli, sekolah dan kampung.
Isu mengenai kebergantungan negara terhadap tenaga pekerja asing kurang mahir dan murah menjejaskan kadar upah bagi rakyat Malaysia telah lama diperkatakan oleh ahli ekonomi dan kesatuan.
Bagaimanapun, majikan di Malaysia berkata kebergantungan ini disebabkan rakyat tempatan enggan melakukan kerja “kotor” yang kebanyakannya melibatkan sektor perkhidmatan, pembuatan dan pertanian. – 24 Ogos, 2019.
Komen