Ketawalah tapi kereta terbang perkara serius, kata menteri


Diyana Ibrahim

Apabila bercakap mengenai kereta terbang sudah tentu anda akan lihat teknologi sama digunakan iaitu teknologi aerodinamik, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 Ogos, 2019.

REKAAN kereta terbang sulung keluaran Malaysia jauh berbeza daripada model yang ditunjukkan dalam pameran pada Mac lalu, kata Menteri Pembangunan Usahawan Mohd Redzuan Md Yusof.

Jentera itu tetap menggunakan rotor namun lebih aerodinamik berbanding model yang menjadi bahan jenaka di media sosial selepas dipamerkan di Langkawi, katanya.

“Apabila bercakap mengenai kereta terbang sudah tentu anda akan lihat teknologi sama digunakan iaitu teknologi aerodinamik.

“Anda tidak boleh lari dari guna barangan yang dilihat sebagai rotor, enjin jet atau seperti apa yang dijenakakan bentuk kipas (rumah),” katanya kepada The Malaysian Insight.

Beliau berkata demikian apabila diminta untuk memberi bayangan mengenai bentuk model prototaip yang akan dilancarkan Disember ini.

Menurutnya model prototaip itu sudah hampir siap pada masa ini dan hanya tinggal kerja melengkapkan pemasangan komponen bahagian atas badan kereta.

Beliau juga menyerahkan kepada umum untuk membuat penilaian ke atas reka bentuk prototaip itu dan sedia berdepan dengan sebarang kritikan ke atasnya.

“Saya tak nampak (kritikan itu) satu perkara yang boleh memperlahankan usaha dan sebenarnya ia hanya akan beri saya motivasi untuk buktikan mereka salah,” katanya.

Rancangan membangunkan kereta terbang itu menerima pelbagai kritikan kerana didakwa tidak menepati keutamaan negara.

Ia seterusnya dipersenda pelbagai pihak apabila model kenderaan itu dipertunjukkan dalam Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi.

Model kenderaan berkonsepkan drone itu dipertunjukkan dalam Pameran Aeroangkasa dan Maritim Antarabangsa Langkawi pada Mac lalu. – Gambar YouTube, 24 Ogos, 2019.

Redzuan bagaimanapun mempertahankan pelaksanaan projek kereta terbang itu sebagai peluang kepada usahawan tempatan membuktikan kepakaran menceburi industri berkenaan.

Jelasnya, syarikat tempatan yang membangunkan teknologi itu, Aerodyne kini tampil sebagai syarikat terkemuka dalam industri perkhidmatan dron antarabangsa.

Syarikat berkenaan kini mendapat perhatian negara luar yang mahu dibekalkan kereta terbang dipanggil superdron, katanya.

Pada masa sama menteri itu menyedari ideanya dijadikan bahan jenaka namun menurutnya dari situ beliau dapat mengukur mentaliti masyarakat.

Jelasnya, walaupun idea itu ditertawakan di Malaysia, banyak negara memandang serius pelaburan dan potensi kenderaan udara.

“Bila saya nak buat kereta terbang, saya boleh kira tahap mentaliti orang. 50% mentertawakan idea saya. Tapi inovasi itu sebenarnya bermula dengan idea kita hari ini.

Kata Redzuan, kerajaan juga tidak mengeluarkan sebarang dana bagi projek tersebut yang menelan kos hampir setengah juta kerana ia dibangunkan syarikat swasta.

Beliau berkata fokusnya ke atas industri pengangkutan mobiliti udara melibatkan perkhidmatan komersial dan bukannya kegunaan persendirian.

Sebagai contoh katanya projek kereta terbang itu boleh digunakan sebagai pengangkutan perkhidmatan awam kepada penduduk seperti di Sarawak.

“Sarawak negara yang sangat luas kalau nak hubung dari kawasan lain sudah tentu kena bina infrastrukur, jalan, jambatan.

“Tapi kalau ada kereta terbang ini anda tak perlu bina jambatan dan jalan dan anda boleh jimatkan kos dengan industri ini,” katanya.

Selain itu katanya, kementeriannya juga dalam berbincang dengan pihak berkuasa dan agensi berkepentingan untuk meminda undang-undang.

Katanya, ia perlu dipinda kerana peruntukan sedia ada tidak membenarkan kenderaan seperti itu diterbangkan dalam negara.

“Kalau kita tak beri beri ruang dari sudut undang-undang, syarikat tempatan ini akan keluar negara dan kita tidak boleh sebab saya ada kereta terbang tapi undang-undang tak benarkan.

“Macam di Timur Tengah mereka sudah kaji selama tiga tahun. Industri mereka bersedia tapi kita tidak,” katanya. – 24 Ogos, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen