PENUKARAN nama Hari Sukan Negara kepada nama dalam bahasa Inggeris tidak membantu menyatupadukan rakyat di negara ini, kata NGO Ikatan Warga Malaysia (Ikwam).
Penyelaras Ikwam Mohd Affandi Ramli berkata Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sepatutnya mengekalkan nama dalam bahasa kebangsaan yang merupakan alat menyatupadukan rakyat.
Katanya, langkah itu akan dapat mewujudkan kedamaian dan keharmonian dalam negara yang berbilang kaum, terutama dalam suasana politik yang resah dengan isu perkauman waktu ini.
“Dalam suasana politik yang agak resah hari ini dengan pelbagai isu perkauman, tindakan kementerian seperti ini tidak membantu.
“Kerajaan melalui kementerian seharusnya menjadi pemula kepada usaha-usaha mengangkat bahasa kebangsaan dan menyatu padukan rakyat Malaysia,” kata Affandi yang juga seorang aktivis seni.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil menteri bagi membantah penukaran nama kempen Hari Sukan Negara ke bahasa Inggeris.
Memorandum itu susulan pengumuman Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim Chee Kiong mengenai penganjuran “Malaysia Sports Challenge 2019 (MySC’19)”.
Program yang diatur untuk diadakan sepanjang Oktober ini merupakan kesinambungan kepada penganjuran Hari Sukan Negara yang dimulakan sewaktu pentadbiran Barisan Nasional.
Sim pada Rabu berkata penggunaan nama dalam bahasa Inggeris itu mampu meningkatkan lagi prestij program berkenaan di kalangan penggiat sukan tempatan dan antarabangsa.
Memorandum Ikwam diterima oleh Setiausaha Sulit Menteri Belia dan Sukan, Mohamed Amshar Aziz yang berkata kenyataan Sim itu disalahtafsir oleh media.
Dakwanya, media gagal memahami MySC’19 hanyalah sebahagian daripada inisiatif Bulan Sukan Negara yang merupakan penambahbaikan kepada Hari Sukan Negara.
“Apabila diberi slot yang sekejap sahaja, memang sukar untuk kedua-dua pihak mendapatkan maklumat penuh. Kadang-kadang media ini pun salah tafsir kenyataan dan sebagainya,” katanya.
KBS dalam satu kenyataan hari ini mempertahankan nama MySC’19 itu hanyalah sebahagian daripada program Bulan Sukan Negara.
“MySC’19 ialah inisiatif baharu yang diperkenalkan oleh KBS bermula pada 2019 bertujuan untuk menambah baik konsep Hari Sukan Negara yang telah dilaksanakan sebelum ini.
“Pelbagai siri pertemuan telah dan akan dilaksanakan kepada sektor korporat bertujuan untuk menambah peluang penajaan, penganjuran aktiviti dan program sukan untuk syarikat korporat serta mempromosikan gaya hidup sihat dengan lebih inklusif,” kenyataan itu dipetik. – 23 Ogos, 2019.
Komen