Hadiah RM3.3 juta dari Itali untuk isteri bekas PM Qatar, kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Penyiasat SPRM Rosli HUsain menjadi saksi terakhir pendakwaan dalam perbicaraan SRC International Najib Razak hari ini. – 23 Ogos, 2019. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 23 Ogos, 2019.

PEMBELIAN berjumlah RM3.3 juta yang dibuat melalui kad kredit Najib Razak pada 8 Ogos 2014 di kedai emas De Grisogono di Itali adalah untuk isteri seorang bekas perdana menteri Qatar, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mendengar hari ini.

Penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain yang menjadi saksi terakhir pendakwaan dalam perbicaraan SRC International Najib berkata, bekas perdana menteri itu mengakui berbuat demikian ketika ditanya pada 2015.

Peguam Farhan Read bertanya kepada Rosli sekiranya beliau tahu tentang barang kemas mewah Swiss dan sama ada beliau telah pergi ke Itali yang mana saksi itu berkata tidak.

“Ramai yang mahu pergi,” kata Rosli dalam nada bergurau. 

Beliau kemudian menunjukkan surat penghargaan daripada Noor Abdulaziz Abdulla Turki Al-Subaie, isteri Shaikh Hamad Jassim Jabr Al Thani yang ketika itu menjadi Perdana Menteri Qatar.

Surat itu bertarikh 15 Ogos 2014 dikirimkan kepada isteri Najib, Rosmah Mansor.

Rosli memberitahu mahkamah ini adalah kali pertama beliau melihat surat itu dan tidak disebutkan ketika SPRM menyoal Rosmah.

“Boleh kamu tunjukkan surat kepada saya? Biar saya melihatnya. Saya tak pernah melihatnya,” kata Rosli kepada peguam.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram berkata surat itu tidak boleh dimasukkan sebagai eviden dan mencabar kesahihannya.

“Saya harap anda memanggilnya untuk memberi keterangan bagi membuktikannya,” katanya merujuk kepada Noor Abdulaziz.

Tuduhan Najib dalam perbicaraan SRC International dikaitkan dengan pinjaman bernilai RM4 bilion yang dikeluarkan kepada entiti pada 2011 dan 2012 yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Lelaki berusia 66 tahun itu berdepan tiga tuduhan pecah amanah jenayah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Beliau berdepan hukuman penjara sehingga 20 tahun jika disabitkan kesalahan. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen