FREEDOM Fund telah memulakan kempen RM75,000 untuk membantu dalam kes mahkamah syariah membabitkan Dr Ahmad Farouk Musa dan pengharaman bukunya oleh Kementerian Dalam Negeri.
Dana berkenaan, yang membantu pengkritik kerajaan sebelum ini, mengumpul derma untuk membiayai tiga kes Farouk. Kes terbabit adalah:
*Dakwaan di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 untuk bersubahat dengan penulis Turki Mustafa Akyol memberi ceramah agama tanpa tauliah.
*Semakan kehakiman terhadap dakwaan ke atas Farouk atas kesalahan di atas dan,
*Semakan kehakiman untuk mencabar pengharaman terbaharu kementerian terhadap bukunya termasuk dua jilid esei yang diedit oleh Farouk, yang juga pengarah Islamic Renaissance Front (IRF).
Dr Wong Chin Huat, yang merupakan salah seorang daripada ahli lembaga pengarah berkenaan berkata, kos menyediakan kertas kerja untuk tiga kes berkenaan dianggarkan RM70,000.
Tambahan pula, dana itu turut mengumpulkan RM5,000 untuk membayar denda sekiranya Farouk didapati bersalah dalam kes mahkamah syariah itu.
Dua peguam yang mewakili Farouk - Rosli Dahlan dan Khoo Guan Huat - turut berbuat demikian berdasarkan pro bono, kata Wong.
“Pendakwaan Farouk di bawah Mahkamah Syariah kerana bersubahat menganjurkan wacana intelek di universiti adalah cubaan untuk mengawal pemikiran kita,” katanya pada sidang media.
“Ia juga melanggar hak kita di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk kebebasan bersuara…Semakan ini adalah baik untuk semua rakyat Malaysia.”
Farouk diberitahu oleh Jabatan Agama Islam Wlayah Persekutuan (Jawi) untuk hadir sendiri ke Mahkamah Syariah Kuala Lumpur pada 4 Disember bagi menjawab pertuduhan bersubahat dengan Mustafa.
Pendakwaan di bawah Seksyen 43 Akta Kesalahan Syariah (Wilayah Persekutuan) 1993, membawa hukuman dengan tidak lebih RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mustafa merupakan ahli panel pada program anjuran IRF bertajuk “Does Freedom of Conscience Open the Floodgates to Apostasy?” pada 24 September lalu.
Dia ditahan oleh Jawi dan disiasat di bawah Seksyen 11 akta yang sama kerana didakwa mengajar agama Islam tanpa tauliah.
Peguam dan ahli akademik mempersoalkan tindakan Jawi menyiasat Mustafa dan Farouk.
Mereka berhujah bahawa peruntukan itu hanya untuk guru kelas agama Islam di masjid dan sekolah bukan ahli akademik dan ahli panel pada forum intelek.
Sehari selepas Farouk disoal siasat oleh Jawi, kementerian berkenaan mengharamkan dua buku IRF - Wacana Pemikiran Reformis (Jilid I) dan Wacana Pemikiran Reformis (Jilid II).
Profesor undang-undang Dr Azmi Sharom, yang turut hadir pada sidang media itu berkata bahawa perundangan yang digunakan oleh pihak berkuasa agama sangat meluas.
“(Undang-undang) memberikan agensi kerajaan kuasa untuk mengawal apa-apa perbincangan berkait dengan Islam. Ini boleh menghalang perbincangan intelek.” – 9 Oktober, 2017.
Komen