MAHKAMAH Agung Algeria pada Khamis memerintakan bekas menteri keadilan Tayeb Louh ditahan kerana didakwa melakukan penipuan dan menyalahguna kuasa, lapor agensi berita Xinhua.
Louh didakwa menyalahguna kuasa, menghalang keadilan serta memalsukan dokumen rasmi kerajaan.
Menurut kenyataan pendakwa raya penahanan Louh adalah merupakan sebahagian daripada usaha membanteras kesalahan rasuah yang dilancarkan Mahkamah Agung.
Pada 8 Ogos, Mahkamah Algiers mengumumkan bermulanya siasatan terhadap Louh, pasportnya ditarik balik dan dilarang meninggalkan negara.
Louh menjadi menteri keadilan di bawah rejim Presiden Abdelaziz Bouteflika dari 2013 hingga 2019.
Beberapa bekas pegawai kanan kerajaan, termasuk dua bekas perdana menteri iaitu Abdelmalek Sellal dan Ahmed Ouyahia turut ditahan.
Sejak 22 Februari negara Afrika utara digemparkan dengan demonstrasi, penunjuk perasaan mengecam urus tadbir kerajaan yang lemah dan jenayah rasuah berleluasa. – Bernama, 23 Ogos, 2019.
Komen