Kekalkan keputusan tidak iktiraf UEC, kata Perkasa


Nabihah Hamid

Timbalan Presiden Perkasa, Sirajuddin Salleh ketika ditemui pada sidang media di ibu pejabat Perkasa di Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 9 Oktober, 2017.

KERAJAAN mesti mengekalkan keputusan tidak mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan tidak mengubah pendirian hanya kerana mahu memancing sokongan pengundi Cina pada pilihan raya umum ke-14 nanti, kata badan pendesak hak Melayu, Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa).

Timbalan Presiden Perkasa, Sirajuddin Salleh berkata pihaknya bimbang isu pengiktirafan UEC itu akan dibangkitkan semula oleh Gabungan Jawatankuasa Sekolah Cina (Dong Zong) kerana PRU-14 sudah dekat.

 “Kami berpendapat perkara ini amat bahaya, dan amat tidak menguntungkan langsung negara. Sebarang pengiktirafan adalah ibarat menanam benih-benih perpecahan, kehancuran kepada perpaduan. 

“Perkara ini hendaklah ditolak kerajaan tanpa syarat. Ini hendak dekat pilihan raya. Hendak dapat undi (Cina) macam-macam boleh buat,”  katanya pada sidang media di Kuala Lumpur.

Menurut Sirajuddin, sekiranya kerajaan mengiktiraf UEC, ia hanya akan menimbulkan kemarahan majoriti orang Melayu.

Tindakan itu juga katanya, bertentangan dengan Dasar Pendidikan Negara dan Akta Pendidikan Negara 1996.

“Perkasa mengecam segala usaha untuk meluluskan pengiktirafan UEC kerana ia lebih kepada agenda politik. 

“Kita mendesak semua pemimpin politik individu hentikanlah. Jangan bermain dengan api. Kita tahu kalau teruskan pengiktirafan ini ramai lagi akan bangun dan menentang perkara ini. Saya takut ia berada di luar kawalan,” katanya lagi. 

Sirajuddin bagaimanapun mengakui beliau tidak ada maklumat apakah ada mana-mana pihak yang mahu membangkitkan isu pengiktirafan itu, terutamanya pada sidang Dewan Rakyat yang akan bermula minggu depan.

UEC adalah sijil yang dikeluarkan oleh Gabungan Kesatuan Pengelola Sekolah Cina Malaysia, Gabungan Kesatuan Guru Sekolah Cina dan Kesatuan Alumni Cina bagi peperiksaan sekolah menengah yang dikendalikan oleh badan-badan itu.

Kementerian Pendidikan Tinggi pada Mac lalu mengumumkan kesediaan mengiktiraf UEC sekiranya ia mematuhi beberapa syarat termasuk sistem penilaiannya dijalankan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia dan menawarkan mata pelajaran Bahasa Melayu yang setara dengan peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Sementara itu, Perkasa membidas cadangan manifesto Pakatan Harapan yang mahu mengiktiraf UEC sekiranya menang PRU14 nanti.

“Siapa pun jangan luluskan UEC ini kerana asasnya ia akan memecahbelah perpaduan. (PH iktiraf UEC) itu hak dia tapi kita tetap tidak setuju kerana kita sayangkan perpaduan kita. 

“Kita bantah. Tak kisahlah siapa pun yang usulkan pun kita tak setuju,” katanya kepada The Malaysian Insight. 

Sayap Pemuda PH pada Julai lepas ketika membentangkan cadangan manifesto pakatan pembangkang itu berikrar akan mengiktiraf UEC sebagai syarat kemasukan ke universiti tempatan, sekiranya PH jadi kerajaan persekutuan.

Ketua Pemuda PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad berkata UEC kini diiktiraf di Universiti Selangor dan Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor. – 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen