Lelaki Syria dipenjara kerana bunuh warga Jerman


Lelaki Syria, Alaa Sheikhi (tengah) dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun di Jerman selepas disabitkan bersalah membunuh seorang tukang kayu. – Gambar AFP, 23 Ogos, 2019.

SEORANG lelaki Syria dijatuhi hukuman penjara sembilan tahun setengah semalam kerana membunuh, dan insiden itu mencetuskan keganasan rasis di jalanan dengan protes kumpulan berhaluan kanan di timur Jerman, bandar Chemnitz.

Mahkamah mendapati Alaa Sheikhi, 24, bersama seorang lagi lelaki Iraq yang masih melarikan diri, menikam hingga mati seorang warga Jerman, Daniel Hillig, 35, menggunakan pisau pada awal pagi 26 Ogos tahun lalu.

Peguam merayu keputusan itu, berkata mahkamah terdedah kepada tekanan politik dan masyarakat, tetapi ketua hakim Simone Herberger berkata jelas yang tertuduh bersalah.

Sabitan kes bunuh itu dilakukan pada masa yang sensitif, setahun selepas ribuan neo-Nazi dan rakyat berarak di Chemnitz, dan 10 hari sebelum pilihan raya umum di wilayah bekas komunis itu.

Parti berhaluan kanan Alternative for Germany (AfD) yang menentang pendatang haram dan Islam, diramal mendapat sokongan di Saxony dan negeri jiran Brandenburg pada 1 September depan.

Mahkamah diberitahu lelaki Iraq yang kini dalam pelarian dikenali sebagai Farhad A, 22, yang terlebih dulu menyerang Hillig, seorang tukang kayu berketurunan Jerman-Cuba.

Dia dan Sheikhi kemudian menikam Hillig, yang maut kerana mengalami beberapa kecederaan dalaman, sementara seorang lagi lelaki Dimitri M, cedera teruk.

Sheikhi, yang tiba di Jerman ketika kemasukan beramai-ramai pendatang haram ke Eropah pada 2015, ditahan beberapa jam selepas serangan itu bersama seorang lagi warga Iraq yang kemudian dilepaskan kerana kurang bukti.

Peguam Ricarda Lang berhujah kes terhadap Sheikhi hanya berdasarkan kepada keterangan saksi pada lewat malam yang boleh dipertikaikan, bukannya cap jari, DNA atau bukti forensik yang lain.

Lang berkata sejurus sebelum keputusan itu, mahkamah “tidak terjejas dengan situasi politik di Chemnitz” dan menyabitkan tertuduh mungkin kerana “seseorang perlu dipersalahkan supaya Chemnitz bertenang”. – AFP, 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen