BINTANG seni bela diri campuran (MMA), Conor McGregor semalam memohon maaf susulan insiden beliau menyerang seorang lelaki di sebuah pub di Dublin, tular di media sosial minggu lalu.
Atlet kontroversi dari Ireland itu berkata beliau malu dan kesal dengan perbuatannya menumbuk lelaki yang tidak mencabar atau membahayakan dirinya.
“Saya bersalah. Lelaki itu berhak untuk berseronok di bar tanpa perlu melalui insiden begini. Di sini saya mengakui saya perlu dipersalahkan dan bertanggungjawab atas kejadian itu,” katanya kepada ESPN.
Insiden itu sedang disiasat polis dan McGregor, 31, berkata beliau sedia menerima hukuman yang dijatuhkan.
Sementara itu, ikon Kejuaraan Tempur Terulung (UFC) berkenaan berkata tidak sabar untuk kembali bertarung walaupun mengumumkan persaraan pada Mac lalu. – AFP, 23 Ogos, 2019.
Komen