LANGSUNG: Najib mengaku beli hadiah untuk pemimpin 'rapat dengannya', kata saksi


Bede Hong Timothy Achariam

Pegawai penyiasat SPRM Rosli Husain hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 23 Ogos, 2019.

PIHAK pendakwa raya menyasarkan untuk melengkapkan kesnya hari ini jika peguam selesai soal balas saksi pendakwa ke-57, pegawai penyiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Rosli Husain.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu mahkamah semalam beliau berharap dapat selesai menyoal Rosli tengah hari ini, selepas pendakwa melakukan soal semula saksi yang kali pertama dipanggil memberi keterangan pada 9 Ogos.

Soal semula biasanya mengambil masa kurang setengah hari, di mana pendakwa memberikan soalan akhir untuk menjelaskan keterangan saksi yang tidak konsisten selain membangkitkan kekurangan dalam hujahan peguam.

Selepas perbicaraan selesai hari ini, peguam akan memberitahu Hakim Collin Lawrence Sequerah status perbicaraan kes SRC International trial.

Hakim kemudian akan membuat keputusan bila tarikh perbicaraan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) akan bermula, di mana Najib Razak berdepan 25 pertuduhan jenayah berkait dengan RM2.28 bilion wang awam. Perbicaraan kes ini pada awalnya ditetapkan Isnin depan.

Semalam, Rosli memberitahu mahkamah SPRM tahu Najib menerima hampir RM400 juta daripada seorang putera Arab Saudi pada 2011.

Rosli mengesahkan wang itu dimasukkan ke akaun peribadi Najib di AmBank dengan nombor akaun berakhir dengan “694” dan ia dari Putera Faisal Turki Al Faisal Al Saud.

Putera Faisal dilaporkan ada kaitan dengan Blackstone Asia Real Estate Partners, satu syarikat berkaitan 1MDB yang disebut dalam mahkamah.

Bekas perdana menteri Najib Razak didakwa atas tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa berkaitan kes SRC International. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abdul Halim, 23 Ogos, 2019.

Rosli juga menolak dakwaan bahawa Low Taek Jho atau lebih dikenali sebagai Jho Low, dalang di sebalik skim untuk menipu berjuta wang SRC International.

Beliau menafikan Najib dituduh secara salah atas jenayah yang dilakukan oleh usahawan kelahiran Pulau Pinang itu.

Rosli juga menolak cadangan bahawa beliau diberi tekanan untuk meletakkan kesalahan kepada Najib selepas kerajaan Barisan Nasional (BN) kalah, dengan meminta bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin menukar keterangannya.

Dalam keterangan saksinya yang diambil Ogos tahun lalu, Suboh berkata tandatangannya berada pada 17 surat arahan. Ketika perbicaraan, Suboh bersetuju dengan cadangan peguam bahawa tandatangannya mungkin ditiru.

Pertuduhan terhadap Najib berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion yang dikeluarkan kepada SRC International pada 2011 dan 2012, yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Bekas perdana menteri berusia 66 tahun itu didakwa atas tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu pertuduhan penyalahgunaan kuasa.

Pasukan peguam Najib diketuai oleh peguam Umno terkemuka Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar perbicaraan.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

4.55pm: Peguam Shafee dan Sithambaram pergi ke mahkamah Nazlan untuk memaklumkan keputusan itu dan menetapkan tarikh penggulungan soal balas saksi terakhir.

Sithambaram memberitahu Nazlan yang Colin sanggup membeli laluan pada Selasa untuk membenarkan kes SRC International digulung dan 1MDB akan bermula pada pagi Rabu.

Hakim Nazlan bersetuju dengan aturan itu.

4.45pm: Sri Ram berkata keterangan dua saksi pertama yang pertama adalah pendek. Beliau mencadangkan kes bermula pada Rabu pagi.

Hakim Colin bertanya apakah saksi formal ada, dan Sri Ram berkata ya.

Hakim bersetuju untuk memulakan perbicaraan pada Rabu pukul 9.30 pagi.

Mahkamah ditangguhkan.

4.40pm: Mahkamah bermula.

Sithambaram memberitahu hakim mereka tidak selesai soal balas dan meminta setengah hari lagi untuk menyelesaikan kes pendakwaan SRC International.

Hakim Colin berkata beliau ingin memulakan perbicaraan pada petang Selasa apabila mereka selesai kes SRC International pada sebelah pagi.

Shafee bertanya Hakim Colin sekali lagi jika mereka boleh bermula pada 3 September atau minggu depan kerana beliau perlu memeriksa dokumen tersebut.

4.35pm: Perbicaraan ditangguhkan. Najib duduk di galeri awam di mahkamah dipengerusikan Hakim Colin.

Pendakwa kanan Gopal Sri Ram berada di mahkamah dengan peguam bela Shafee Abdullah.

4.25pm: Shafee berhenti menyoal balas saksi dan memberitahu Nazlan beliau terpaksa ke mahkamah bertemu Hakim Colin untuk pengurusan kes 1MDB.

Sithambaram mencadangkan supaya soal balas diteruskan Rabu depan, tertakluk kepada persetujuan Hakim Colin.

Sithambaram memberitahu Nazlan mereka akan memeriksa terlebih dahulu dengan Hakim Colin dan merujuk beliau kembali. Nazlan meminta ia diteruskan selepas itu.

3.35pm: Sithambaram mencelah, mengatakan saksi tidak boleh bercakap mengenai apa yang difikirkan oleh Najib.

Shafee bagaimanapun berkata pihak pendakwa mesti membuktikan Najib tahu wang itu adalah daripada sumber haram.

Shafee kemudian meneruskan dengan soalan, mencadangkan Nik Faisal tidak jujur dengan lembaga pengarah. Rosli berkata berdasarkan pengetahuannya, Nik Faisal tidak pernah melapor kepada lembaga pengarah.

3.30pm: Shafee bertanya pegawai SPRM jika beliau menyiasat sama ada wang itu berasal dari keluarga diraja Arab Saudi.

Rosli berkata tidak menyiasat sama ada ia benar atau tidak.

Shafee: Najib dengan keyakinan ketika membelanjakan wang itu, menganggap wang itu sumbangan daripada keluarga diraja Arab Saudi?

Rosli: Itu yang dipercayainya.

3.20pm: Rosli mengatakan tiada siasatan terhadap tandatangan pada dokumen.

Mereka kini bercakap mengenai soal siasat SPRM dengan Nik Faisal.

3.12pm: Mahkamah bersambung dengan Rosli memberi keterangan dan Shafee meneruskan soal balasnya.

Ia dimulakan dengan anak-anak syarikat SRC International.

Rosli berkata beliau tidak tahu siapa penandatangan bagi semua anak syarikat itu, sambil menambah tiada siasatan dijalankan berhubung tandatangan pada dokumen.

12.30pm: Shafee mencadangkan siasatan SPRM tidak bebas, tetapi Rosli berkata ia bebas.

Hakim kemudian menangguhkan perbicaraan untuk berhenti rehat makan tengah hari dan solat Jumaat. Prosiding bersambung semula 2.45pm. Shafee memaklumkan beliau mungkin lewat sedikit tiba untuk perbicaraan selepas rehat.

12pm: Rosli berkata Suboh pada awalnya bersetuju bahawa itu tandatangannya ketika ditunjukkan.

11.55am: Shafee bertanya Rosli tentang keterangan Suboh di mahkamah berkenaan 16 tandatangannya yang didakwanya ditiru oleh bekas CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil. Tandatangan itu untuk borang transaksi Rentas.

11.50am: Farhan mencadangkan bahawa Najib secara peribadi hanya menggunakan 1.9% daripada jumlah keseluruhan perbelanjaan, di mana Rosli berkata: “Itu pendapat anda”.

F: Bukankah ini menunjukkan Najib tidak ada niat untuk menipu?

R: Saya tidak setuju.

11.45am: Farhan menunjukkan kepada Rosli satu nota “terima kasih” diberikan kepada Rosmah oleh isteri kerabat diraja Qatar atas pemberian hadiahnya. Rosli berkata beliau tidak pernah melihat surat itu ketika melakukan siasatan, walaupun ketika mengambil keterangan daripada Rosmah.

11.40am: Farhan kemudian bertanya kepada Rosli tentang pembelian Najib di Itali. Farhan bertanya adakah beliau tahu tukang emas Switzerland De Grisogono dan adakah beliau tahu apa yang Najib beli di situ. Rosli berkata beliau tidak tahu kerana beliau tidak pergi ke sana.

Farhan mencadangkan bahawa Najib membeli hadiah di situ untuk pemimpin yang rapat dengannya. Rosli menjawan Najib ada mengakui perkara itu ketika keterangannya diambil di SPRM.

11.35am: Pegawai SPRM itu berkata beliau tidak boleh menentukan sama ada almari pakaian dan tangki air yang dibeli Najib untuk rumahnya adalah untuk kemewahan atau keperluan kerana beliau hanya menyiasat transaksi berkenaan kesnya saja.

11.25am: Rosli berkata beliau tidak menyiasat bayaran dibuat Najib untuk sumbangan amal kerana bayaran itu dibuat kepada yayasan amal.

Farhan kemudian bertanya adakah beliau setuju bahawa penggantian tangki air di salah sebuah rumah Najib adalah keperluan. Rosli berkata beliau tidak pasti.

11.20am: Farhan bertanya tentang wang diberi Najib kepada perniagaan Jamek. Farhan mencadangkan bahawa ia digunakan untuk kerja amal. Rosli bersetuju tetapi berkata ia bukan sebahagian daripada siasatannya.

10.59am: Rosli setuju bahawa RM32 juta dimasukkan ke akaun Najib, dan berkata ia dari akaun Permai Bina Raya.

10.56am: Mereka melihat transaksi kad kredit Najib

10.52am: Farhan bertanya kepada Rosli tentang RM32 uta yang dimasukkan ke akaun Najib.

10.45am: Mahkamah mula bersidang. Saksi Rosli Husain, pegawai penyiasat SPRM sambung keterangan.

Peguam Farhan Read memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali bahawa peguam Harvinderjit Singh tidak dapat hadir ke mahkamah hari ini dan menyerahkan tugas soal balas Rosli, kepadanya.

Farhan memulakan soal balas. – 23 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen