SEORANG lelaki yang mempunyai koleksi senjata api di rumah yang banyak didakwa pada Khamis kerana didakwa mengugut melepaskan tembakan di sebuah hotel di Los Angeles, ketika AS masih bergelut pulih daripada tembakan kejadian massa.
Suspek berusia 37 tahun itu, Rodolfo Montoya yang merupakan pekerja Long Beach Marriott didakwa memberitahu rakan sekerjanya yang beliau bengang dan merancang melepaskan tembakan di tempat kerja tanpa mengenal mangsa.
Polis menemui koleksi senjata api termasuk AR-15, Montoya tidak mendapat kebenaran memilikinya di California. Model senjata itu sering digunakan dalam kejadian tembakan di AS.
Pihak berkuasa juga menemui pelbagai senjata api, beratus peluru dan senjata lain.
“Suspek Montoya mempunyai rancangan, niat dan cara jelas untuk melakukan keganasan yang boleh menyebabkan kematian massa,” kata Ketua Polis Long Beach Robert Luna memberitahu wartawan di sidang media selepas penahanan itu.
Berdasarkan siasatan awal, Montoya, yang merupakan tukang masak, marah berkaitan dengan isu sumber manusia di tempat kerjanya.
Rakan sekerjanya mengambil serius ugutan itu dan memberitahu pengurus yang melaporkannya kepada polis. ‘
Montoya ditahan di rumahnya pada Selasa.
Luna memberitahu pengurus hotel yang beliau “menyelamatkan banyak nyawa, bukan sekadar pekerja anda tetapi juga mana-mana pelanggan Marriot yang ada ketika lelaki itu memutuskan untuk melakukan serangan.”
Pendakwaan itu dibuat selepas dua tembakan massa berlaku di AS awal bulan ini- satu di Dayton, Ohio dan di El Paso, Texas- menyebabkan 31 orang maut.
Selepas tragedi itu, Presiden Donald Trump berkata beliau menyokong meluaskan pemeriksaan latar belakang untuk pembeli senjata api tetapi menentang pengharaman senjata, usaha yang juga ditentang pelobi senjata berpengaruh, Persatuan Senjata Api Kebangsaan. – AFP, 19 Ogos, 2019.
Komen