YouTube sekat 120 saluran anti protes Hong Kong


Hong Kong bergelut dengan protes panjang penduduknya yang mahu daerah semi autonomi itu diberikan kebebasan, menimbulkan kemarahan China. – Gambar EPA, 23 Ogos, 2019.

YOUTUBE semalam menyekat 210 saluran yang dianggap sebahagian daripada kempen menentang protes pro demokrasi Hong Kong.

Tindakan platform dimiliki Google minggu ini berlaku pada masa sama Twitter dan Facebook menuduh kerajaan China menjadi dalang kempen mensasarkan pergerakan pro demokrasi Hong Kong dengan menyebarkan pertikaian politik di bandar itu.

“Kami membatalkan 210 saluran di YouTube apabila kami mendapati ia bertindak secara bersepadu dengan memuat naik kandungan berkandungan protes yang sedang berlangsung di Hong Kong,” kata Shane Huntley daripada pasukan analisis risiko keselamatan Google dalam satu kenyataan di muat naik dalam talian.

“Penemuan ini konsisten dengan pemerhatian dan tindakan terbaru berkaitan China diumumkan oleh Facebook dan Twitter.”

Isnin lalu, Twitter dan Facebook mengumumkan mereka menggantung hampir 1,000 akaun aktif berkaitan dengan kempen anti protes, sementara Twitter berkata mereka menutup 200,000 akaun sebelum ia boleh memberi kesan buruk.

“Akaun ini dengan sengaja dan khusus cuba menyemai kemelut politik di Hong Kong, termasuk memperlekeh kesahan dan kedudukan politik pergerakan politik di lapangan,” kata Twitter, merujuk kepada akaun aktif yang ditutup.

Facebook berkata sebahagian catatan daripada akaun itu diharamkan membandingkan pembantah dengan militan Kumpulan Islam, menggelarkan mereka “lipas” dan mendakwa mereka merancang pembunuhan dengan menggunakan lastik.

Hong Kong, daerah semi autonomi China dan salah satu hub kewangan penting dunia berdepan krisis politik yang menyaksikan jutaan penduduknya memenuhi jalanan mendesak kebebasan lebih besar.

Pemerintah komunis China memberi amaran mereka bersedia menggerakkan ketumbukan tentera untuk meredakan kemelut berterusan sudah tiga bulan itu, mengaitkan protes itu kepada “keganasan”.

Bagaimanapun, setakat ini, mereka membiarkan pemimpin dan polis Hong Kong untuk cuba menyelesaikan krisis itu.

Dalam talian pula, kerajaan China cuba mempengaruhi pandangan awam tentang Hong Kong, menurut Twitter dan Facebook. – AFP, 19 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen