Apa status tanah kuil Seafield, tanya penganut Hindu kepada peguam negara


Noel Achariam

Sudah masuk tujuh bulan sejak Peguam Negara Tommy Thomas berkata sebuah lembaga pemegang amanah akan dilantik untuk menjaga kuil berusia 157 tahun itu, masih tiada perkembangan terkini, kata penganut. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Ogos, 2019.

PENGANUT Hindu Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya, Selangor masih menantikan penjelasan dari Peguam Negara Tommy Thomas mengenai status rumah ibadat mereka yang jadi pertikaian sehingga tercetus rusuhan tahun lalu.

Mereka memberitahu The Malaysian Insight kini sudah masuk tujuh bulan sejak Thomas berkata sebuah lembaga pemegang amanah akan dilantik untuk menjaga kuil berusia 157 tahun itu.

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman V K Regu berkata penganut mahu satu pertemuan dengan Thomas diadakan untuk membincangkan isu tapak kuil.

“Kami faham peguam negara sibuk, tetapi sekurang-kurangnya beritahulah kami sedikit perkembangan.

“Kami perlu beritahu penganut apakah tindakan yang peguam negara sedang ambil kerana hak milik (kuil) berada di tangannya,” kata Regu kepada The Malaysian Insight.

Selepas berlaku rusuhan di kuil tersebut pada 26 dan 27 November tahun lalu akibat keengganan pengurusan memindahkan kuil ke tapak baru yang dipersetujui, peguam negara berkata tapak seluas 0.4 hektar itu akan diserahkan kepada pemegang amanah yang diuruskan Mahkamah Tinggi.

Awal tahun ini, pemaju hartanah One City Development Sdn Bhd menyambut baik penyelesaian bagi tanah berkenaan seperti yang dicadangkan Thomas dan mengikut syarat yang dipersetujui oleh semua pihak yang terlibat.

Regu berkata jawatankuasa bertindak kuil masih belum menerima sebarang jawapan selepas menghantar surat kepada peguam negara pada Januari dan Mac.

“Kami bukan nak masuk campur tangan keputusan peguam negara. Apa yang kami hendak ialah satu perjumpaan untuk dapatkan jawapan berkenaan status tanah.”

Setiausaha Jawatankuasa Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman V K Regu berkata penganut mahu satu pertemuan dengan Peguam Negara Tommy Thomas diadakan untuk membincangkan isu tapak kuil.  – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 23 Ogos, 2019.

Serang kuil

Selain itu, Regu juga bertanya perkembangan berita mengenai suspek yang memecah masuk ke kuil tahun lalu.

“Kami mahu tahu apa jadi kepada orang yang menceroboh ke kuil.

“15 orang cedera semasa kejadian itu, tetapi sudahkah mereka (suspek) didakwa? Apa yang berlaku?”

November tahun lalu, Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin berkata peguam kepada pemaju One City mengupah samseng Melayu untuk menceroboh kuil.

Siasatan polis mendapati peguam tersebut membayar RM150,000 untuk menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil sebelum pemaju datang bersama polis.

Menurut Muhyiddin seramai 50 samseng diupah dan dibayar upah antara RM150 hingga RM300 seorang.

Ketua polis negara ketika iatu, Mohamad Fuzi Harun berkata dua peguam One City ditahan, tetapi pemaju itu menafikan terlibat dalam serangan di kuil.

Regu juga mendakwa berapa penganut yang cedera dalam serangan itu hilang pekerjaan kerana tidak mampu bekerja lagi.

Pada Disember, polis Selangor berkata seramai 13 suspek ditahan kerana terlibat dengan rusuhan dan didakwa di mahkamah. – 23 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen