Tetap ada tol jika Maju Holdings beli Plus, kata Dr Mahathir


SM Amin

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata tawaran tersebut walaupun baik, ianya tetap memerlukan kutipan tol – bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan kutipan tol. – Gambar fail The Malaysian Insight, 22 Ogos, 2019.

KERAJAAN masih mempertimbangkan tawaran Maju Holdings Berhad untuk mengambil alih Plus Malaysia Sdn Bhd (Plus) kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Dr Mahathir berkata tawaran tersebut walaupun baik, ianya tetap memerlukan kutipan tol – bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan untuk menghapuskan kutipan tol.

“Jika kita tidak benarkan mereka untuk kenakan tol, bagaimana mereka hendak dapatkan semula pelaburan yang telah dikeluarkan untuk membeli konsesi lebuh raya?

“Lebuh raya yang lama perlu diselenggara dan ada yang perlu diperbesarkan. Ini semua memerlukan wang.

“Sebelum duit ini dapat daripada kutipan tol. Sekarang ini kita janji dalam manifesto untuk tidak kutip tol,” katanya.

Menurutnya Maju Holdings juga bercadang untuk untuk mengurangkan kadar tol menaik taraf lebuh raya tersebut.

“Jadi kita sedang timbang,” katanya dalam sidang media selepas Majlis Perjumpaan Bersama Pegawai-Pegawai Kerajaan di Perbadanan Putrajaya, hari ini.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata Maju Holdings Berhad juga bercadang untuk untuk mengurangkan kadar tol menaik taraf lebuh raya Plus Malaysia Sdn Bhd (Plus). – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 22 Ogos, 2019.

Beliau mengulas laporan media yang menyebut Maju Holdings sudah membuat tawaran baharu bagi mengambil alih Plus.

Bagaimanapun, Kementerian Kewangan menolak tawaran Maju Holdings Sdn Bhd itu selepas mengambil kira pandangan pemegang saham utama syarikat konsesi tol itu.

Dua pemegang saham majoriti adalah Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Maju Holdings pada 2017 membuat tawaran serupa untuk mengambil alih Plus namun ditolak oleh kerajaan ketika itu kerana tidak dapat mengesahkan jika ia disokong sumber kewangan yang kukuh.

Maju Holdings dikatakan telah mengemukakan empat tawaran kepada kerajaan dan kesemuanya bergantung pada pelanjutan tempoh konsesi lebuh raya berkenaan yang dijangka tamat pada 2038.

Maju Holdings mencadangkan pengurangan kadar tol sebanyak 25% bagi mendapatkan pelanjutan tempoh konsesi 10 tahun atau pengurangan 30% jika tempoh konsesi dilanjutkan selama 15 tahun sehingga 2053.

Ia juga menawarkan pengurangan kadar tol 33% jika tempoh konsesi dilanjutkan kepada 20 tahun atau pengurangan 36% kadar tol untuk pelanjutan tempoh konsesi 30 tahun hingga 2068.

Bagaimanapun, tawaran yang dikemukakan oleh Maju Holdings itu dengan syarat kerajaan mengekalkan jaminannya ke atas struktur hutang Plus sepanjang tempoh konsesi serta lanjutannya.

Selain daripada Lebuhraya Utara-Selatan, Plus juga mengendalikan Lebuhraya Baru Lembah Klang, Lebuhraya Seremban-Port Dickson, Lebuhraya Lingkaran Tengah Utara-Selatan, Link Kedua Malaysia-Singapura, Lebuhraya Butterworth-Kulim dan Jambatan Pulau Pinang. – 22 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen