RUSIA hari ini melancarkan roket tanpa pemandu membawa sebuah robot manusia yang akan berada di angkasa lepas selama sepuluh hari untuk mempelajari cara-cara membantu angkasawan di Stesen Angkasa Lepas Antarabangsa (ISS).
Robot itu diberi nama Fedor, singkatan bagi Penyelidikan Demonstrasi Eksperimen Akhir (Final Experimental Demonstration Object Research) dan merupakan robot pertama dihantar Rusia.
Fedor berlepas ke angkasa menaiki kapal Soyuz MS-14 pada pukul 6.38 pagi waktu tempatan dari Kosmodrom Baikonur di Kazakhstan. Kapal angkasa Soyuz akan tiba di stesen ISS pada Sabtu dan akan berada di sana sehingga 7 September.
Fedor yang juga dipanggil Skybot F850 diletakkan di tempat pemandu yang diubah suai dan memegang bendera kecil Rusia.
“Let’s go, let’s go,” suara robot itu kedengaran ketika pelancaran.
Robot itu berwarna perak dan mempunyai ketinggian 180cm dan seberat 105kg.
Fedor juga mempunyai akaun Instagram dan Twitter. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen