KABINET tidak akan dirombak tetapi bebeberapa perubahan portfolio akan berlaku, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Katanya, perkara itu diberitahu kepada jemaah menteri dalam satu mesyuarat semalam namun pertukaran itu belum dilaksanakan.
“Tiada rombakan kabinet. Tiada pertukaran portfolio buat masa ini. Jika ada saya beritahu. Tiada menteri baru.
“Saya bercakap dengan Kabinet, mungkin ada tukar sedikit portfolio. Itu pun saya belum lakukan,” katanya kepada pemberita selepas satu pertemuan dengan pegawai kerajaan di Putrajaya.
Dr Mahathir juga enggan mendedahkan portfolio terlibat dan menyatakan keyakinan ke atas kemampuan barisan menterinya yang menurutnya kini lebih berpengalaman.
“Mereka sudah ada pengalaman setahun dalam kerajaan. Mereka sekarang lebih berkemampuan daripada berbanding awal dahulu,” katanya.
Jangkaan mengenai rombakan Kabinet itu disebut oleh beberapa sumber yang mendedahkan ia mungkin dilakukan seawal minggu depan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, tiada mana-mana menteri yang akan digugurkan tetapi portfolio beberapa menteri mungkin bertukar.
Ia juga bermaksud, Presiden PKR Anwar Ibrahim tidak akan menyertai Kabinet Dr Mahathir, kata sumber.
Dr Mahathir Mohamad pada awal tahun ini menyuarakan rasa tidak puas hati ke atas prestasi barisan jemaah menteri dalam kerajaan baharu.
Pada 13 Ogos lalu, beliau bagaimanapun berpuas hati dengan prestasi itu dan yakin kesemua menterinya melaksanakan tugas dengan sebaiknya. – 22 Ogos, 2019.
Komen