BIRO Penyiasatan Pusat India (CBI) pada Rabu malam menahan bekas menteri kewangan dan ahli politik terkemuka P. Chidambaram kerana didakwa terbabit rasuah.
Ahli politik berusia 73 tahun itu ditahan sebaik beliau tiba di kediamannya yang terletak di kawasan kejiranan mewah di New Delhi, selepas mengadakan sidang akhbar.
Chidambaram menerajui Kementerian Kewangan dan Luar Negeri semasa pemerintahan parti Kongres antara tahun 2004 dan 2014.
CBI pada 2017 telah menfailkan satu kes penyelewengan mengenai kelulusan dana asing oleh Lembaga Promosi Pelaburan Asing kepada syarikat INX Media bernilai kira-kira 3 bilion rupee (RM178 juta) pada 2007, ketika Chidambaram memegang portfolio Menteri Kewangan.
Direktorat Penguatkuasaan (ED) pada tahun lepas merampas beberapa harta milik anak lelaki Chidambaram, Karti.
Pada sidang akbar di pejabat Kongress Chidambaram menafikan semua dakwaan yang dikenakan terhadapnya.
“Di dalam kes Media INX, saya tidak dituduh melakukan sebarang kesalahan dan tiada sesiapa pun termasuk mana-mana anggota keluarga saya dituduh melakukan sebarang kesalahan,” katanya.
Tambahnya, tiada kes difailkan di mahkamah oleh CBI mahupun ED agensi penyelidikan jenayah ekonomi India.
Namun katanya: “masih tersebar dengan meluas khabar angin yang mengatakan saya dan anak saya telah melakukan kesalahan berat.”
Sepasukan peguam handalan gagal memperoleh perintah mahkamah untuk mencegah beliau ditahan.
Pemimpin Kongres Rahul Gandhi mendakwa Chidambaram menjadi mangsa dendam politik.
“Saya mengutuk sekeras-kerasnya salah guna kuasa ini,” katanya dalam Twitter. – Bernama, 22 Ogos, 2019.
Komen