LIMA buah bas dan sepuluh trak yang disediakan Bangladesh sebagai usaha membawa pulang pelarian Rohingya ke Myanmar kosong hari ini apabila tiada seorang pun yang muncul.
Kenderaan disediakan untuk mengangkut kumpulan pertama seramai 3,450 pelarian itu tiba di sebuah kem di Teknaf pada jam 9 pagi waktu tempatan.
Namun selepas empat jam, tiada siapa yang muncul.
Seramai 740,000 pelarian yang melarikan diri dari serangan tentera pada 2017 enggan pulang tanpa jaminan keselamatan dan akan diberi kerakyatan Myanmar.
“Kerajaan Myanmar rogol kami, bunuh kami. Jadi kami perlukan keselamatan. Kami tidak akan balik tanpa jaminan keselamatan,” kata pemimpin Rohingya, Nosima.
“Kami perlukan jaminan akan diberi kerakyatan, keselamatan dan tanah kelahiran kami,” kata Mohammad Islam dari Kem 26, salah satu kem di tenggara Bangladesh yang menempatkan kira-kira sejuta pelarian.
“Jadi kami mesti rundingkan perkara ini dengan kerajaan Myanmar sebelum penghantaran balik.”
Pesuruhjaya pelarian Bangladesh, Mohammad Abul Kalam berkata seramai 295 keluarga ditemui tetapi tiada siapa yang berminta untuk pulang semula ke Myanmar.
Katanya bas dan trak yang disediakan akan menunggu di kem sehingga pukul 4 petang ini dan mereka akan terus memujuk pelarian. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen