MOHD Redzuan Md Yusof berharap akan dapat mengekalkan portfolionya apabila perdana menteri membuat rombakan Kabinet kelak.
Menteri pembangunan usahawan itu berkata beliau berharap tidak akan ditukar ke kementerian lain agar dapat melaksana pelbagai perancangan yang dibuat untuk pembangunan usahawan.
“Sebab saya masih ada tugas belum selesai jadi saya nak teruskan sebab kita dah setahun buat rancangan untuk dasar keusahawanan,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Beliau mengesahkan rombakan tersebut hanya melibatkan beberapa pertukaran portfolio menteri sahaja.
“Akan ada tidak lama lagi, tapi bukanlah rombakan pun cuma beberapa pertukaran portfolio menteri,” katanya lagi.
Jangkaan bahawa perdana menteri akan membuat rombakan Kabinet itu disebut oleh beberapa sumber yang mendedahkan ia mungkin dilakukan seawal minggu depan.
Sumber memberitahu The Malaysian Insight, tiada mana-mana menteri yang akan digugurkan tetapi portfolio beberapa menteri mungkin bertukar.
Ia juga bermaksud, Presiden PKR Anwar Ibrhahim tidak akan menyertai Kabinet Dr Mahathir, kata sumber. – 22 Ogos, 2019.
Komen