INDONESIA menyekat akses Internet di kawasan bergolak di Papua kerana bimbang kata-kata berbentuk rasis dan menyinggung yang dimuat naik di media sosial akan mencetuskan lebih banyak protes keganasan di wilayah itu, kata pihak berkuasa.
Rusuhan dan demonstrasi berlaku di beberapa bandar di Papua dengan beberapa bangunan dibakar dan berlaku pertempuran di jalanan antara polis dan penunjuk perasaan di wilayah paling timur Indonesia itu.
Kebangkitan pemberontakan terhadap pemerintahan Jakarta berlaku sejak berdekad lalu di wilayah kepulauan yang berkongsi sempadan dengan Papua New Guinea.
Tetapi rusuhan kali ini tercetus akibat penahanan berpuluh-puluh pelajar Papua – yang juga menerima penderaan rasis – di Jawa pada hujung lalu.
Indonesia memperlahankan perkhidmatan Internet beberapa hari lalu untuk mencegah komen yang menghasut dan provokatif serta rasis menyasarkan etnik Melanesia di Papua. Tetapi perkhidmatan ditutup sepenuhnya semalam.
“Pagi ini masih berlaku sekatan penuh terhadap akses Internet,” kata jurucakap Kementerian komunikasi Ferdinandus Setu.
“Jumlah kandungan rasis dan provokatif di media sosial sangat tinggi dan ia jadi tular.”
Tiga penyedia perkhidmatan Internet di wilayah itu bekerjasama dengan arahan itu. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen