PERTEMUAN dengan Dr Mahathir Mohamad semalam adalah berkenaan isu kementerian, kata Lim Guan Eng yang mengelak ketika ditanya mengenai dakwaan rombakan Kabinet.
Setiausaha agung DAP itu juga menafikan bahawa partinya mengemukakan senarai nama untuk rombakan jemaah menteri itu.
“Pertemuan itu berdasarkan kapasiti mereka (pemimpin parti) sebagai menteri dan tidak, pemimpin bagi parti mereka,” kata Lim di Putrajaya hari ini.
Beliau mengulas beberapa laporan awal hari ini yang Dr Mahathir bertemu Timbalan Perdana Menteri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin dan dan Presiden Amanah Mohamad Sabu, serta Lim, untuk membincangkan mengenai rombakan Kabinet.
Lim bagaimanapun tidak menafikan sama ada mesyuarat itu ada membincangkan tentang rombakan Kabinet.
“Ia tidak betul kerana Kabinet semua ada di situ. Kabinet sedia ada akan kekal, sekurang-kurangnya daripada DAP.
“Senarai sedia ada kekal dan saya atau DAP tidak menghantar senarai nama yang lain,” kata Lim selepas menghadiri mesyuarat kumpulan fokus Belanjawan 2020 berkaitan perumahan mampu milik di Putrajaya hari ini.
Beliau turut menafikan mesyuarat semalam membincangkan tentang membawa masuk kembali bekas menteri perdagangan antarabangsa Mustapa Mohamed.
“Mesyuarat semalam tentang hal ehwal kerajaan dan tidak berkaitan dengan pelantikan Mustapa Mohamed sebagai menteri. Ia tidak dibincangkan langsung,” katanya.
Menteri kewangan itu berkata pelantikan Kabinet adalah kuasa perdana menteri.
“Bukan saya buat keputusan kerana saya bukan perdana menteri. Apa yang kami bincangkan semalam ialah tentang hal kerajaan.
“Ini di bawah PM dan beliau sudah menjawabnya banyak kali dan anda patut rujuk kepada itu. Saya bukan perdana menteri,” katanya.
Sementara itu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin turut menafikan ada rombakan Kabinet.
“Tidak pada masa ini,” katanya ketika ditanya tentang perkara itu.
“Saya tidak terpilih dalam jawatankuasa itu. Saya tidak tahu.”
Katanya, majlis presiden PH tidak membincangkan sebarang rombakan Kabinet. – 22 Ogos, 2019.
Komen