SERAMAI 14 penumpang dan anak kapal cedera selepas pesawat milik syarikat penerbangan Sepanyol, Evelop mengalami gelora udara yang teruk, ketika dalam perjalanan dari Mauritius ke Madrid, semalam.
Bagaimanapun, Evelop dalam satu kenyataan berkata pesawat Airbus 330 itu berjaya mendarat dengan selamat di lapangan terbang Madrid pada malam Selasa selepas mengalami gelora udara selama 15 saat.
Kejadian itu menyebabkan pesawat berkenaan terjatuh sejauh 100 meter, sebelum berjaya mendarat di Madrid.
“Seramai 14 mangsa mengalami cedera ringan dan dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan.
“Semua dibenarkan keluar pada hari yang sama.
“Tiga daripada mangsa yang cedera adalah anak kapal pesawat berkenaan,” kata jurucakap Evelop.
Sementara itu, salah seorang penumpang yang hanya dikenali sebagai Mar ketika memberitahu radio, Cadena Ser, berkata: “Pesawat itu terjunam seperti anda menaiki salah permainan di taman tema.
“Kami melihat ramai penumpang seolah-olah terbang ketika berada di kerusi masing-masing, dan ada yang menyentuh siling pesawat, manakala yang lain duduk di sebelah mereka”.
Menurut syarikat penerbangan itu, amaran tali pinggang keledar dikeluarkan sebelum pesawat terbabit memasuki zon gelora udara berkenaan.
Evelop yang berpangkalan di Pulau Balearic, Sepanyol mengendalikan penerbangan jarak dekat dan jauh dari Sepanyol serta Portugal. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen