POLIS Sepanyol berkata pada Rabu, mereka menahan seorang lelaki yang disyaki secara sembunyi merakam video bawah skirt lebih 500 wanita, termasuk mereka di bawah umur semasa menaiki pengangkutan awam dan di pasar raya.
Lelaki itu didakwa menggunakan telefon bimbit disembunyikan di dalam beg sandang yang diletakkan di bawah untuk mengambil gambar seluar dalam wanita di Madrid tanpa disedari mereka, perbuatan yang dikenali sebagai “upskirting”, kata polis dalam satu kenyataan.
Beliau kemudian memuat naik sekurang-kurangnya 283 video yang diambil ke laman lucah dan dilihat lebih sejuta kali.
Polis menahan warga Colombia berumur 53 tahun itu ketika sedang merakam seorang wanita di Madrid menggunakan telefon mudah alih yang diletak secara strategik dalam beg sandangya, kata kenyataan itu.
Dalam tempoh lima hari, beliau merakam video 29 wanita yang berbeza, kata polis.
Lelaki itu beroperasi di kereta api metro dan komuter serta “dalam beberapa kes mengekori beberapa wanita dari metro hingga pasar raya untuk terus merakam mereka,” kata Rafael Fernandez dari unit jenayah siber polis Sepanyol memberitahu pemberita.
Pegawai merampas komputer riba dan tiga pemacu cakera keras dari rumahnya yang mempunyai video dengan ratusan imej wanita yang dirakam secara rahsia.
Seramai 555 wanita, sebahagiannya di bawah umur, muncul dalam 283 video yang disiarkan dalam talian, kata Fernandez.
Polis setakat ini berjaya mengenal pasti 29 wanita, yang memfailkan aduan jenayah terhadap lelaki itu, tambahnya.
Lelaki itu didakwa melanggar privasi, korupsi serta penderaan kanak-kanak dan pelacuran kanak-kanak memandangkan beberapa mangsanya masih di bawah umur, kata Fernandez. Beliau berada dalam tahanan sementara menunggu perbicaraan. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen