SEORANG lelaki Kenya ditahan di lapangan terbang Bangkok kerana didakwa cuba menyeludup lebih 60 paket kokain dalam perutnya, kata pihak berkuasa Thailand pada Rabu.
Pihak berkuasa berkata, Glenn Chibasellow Ooko, 43, menaiki penerbangan pada Isnin dari Ethiopia ke lapangan terbang Suvarnabhumi, Thailand dan ditahan.
Gambar x-ray daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik menunjukkan puluhan bungkusan berbentuk bujur di dalam perutnya, yang dipenuhi kokain.
“Beliau menelan kokain seberat 1.2kg yang terkandung dalam 68 paket,” kata ONCB dalam satu kenyataan pada Rabu.
Ooko ditangkap bersama seorang rakyat Nigeria, Osita Joseph Ukpa, yang dituduh pihak polis mengupah lelaki Kenya berkenaan untuk menyeludup dadah.
“Ini adalah sebahagian daripada rangkaian dadah di Thailand,” kata kenyataan itu.
Thailand sekian lama menjadi hab utama bagi penyeludupan dadah dengan sempadannya yang mudah ditembusi dan kelemahan penguatkuasaan undang-undang menjadikannya mudah bagi rangkaian jenayah antara negara untuk mengangkut barangan mereka.
Negara ini juga berfungsi sebagai pusat transit untuk laluan perdagangan berbilion dolar methamphetamine yang diseludup melalui Myanmar dan Laos sebelum ke negara lain seperti Australia dan Jepun. – AFP, 22 Ogos, 2019.
Komen