UTUSAN Malaysia perlu menjadi lebih popular bukan sekadar di kalangan pembaca tradisinya yang merupakan penyokong Umno dan meluaskan sumber pendapatan jika akhbar itu bangkit semula, kata pakar media.
Untuk melakukan perkara ini, editorialnya perlu bebas daripada bekas tuan politiknya, Umno dan membuang mentaliti subsidi yang dipupuk oleh parti itu.
Ketika Umno menguasai Utusan, ketua dalam akhbar itu mudah berpuas hati dan bergantung kepada sokongan parti untuk membayar semua keperluan kewangan.
Sepanjang pemerintahan Umno dalam kerajaan persekutuan, Utusan boleh berpegang kepada hakikat yang ia akan sentiasa mempunyai “pelanggan” tetap dalam kerajaan, kata Megat Al Imran Yasin daripada Universiti Putra Malaysia (UPM).
“Semua jabatan kerajaan, agensi dan sekolah kebangsaan dikehendaki melanggan Utusan, jadi ia sentiasa mempunyai pelanggan sedia ada,” kata Megat Al Imran yang menyampaikan ceramah di Jabatan Komunikasi UPM.
Kebergantungan ini membangkitkan mentaliti subsidi di kalangan pengurusan akhbar dan menghalang syarikat itu daripada membuat inovasi serta mencari sumber pendapatan baru dalam media digital, katanya.
“Ia menyebabkan mereka bergantung kepada pendapatan daripada langganan dan pengiklanan semata-mata. Namun, pada masa sama, pendapatan pengiklanan secara konsisten beralih kepada online dan Utusan terlalu lambat untuk menguasainya.”
Ini tidak seperti pesaingnya Sinar Harian dan Berita Harian, yang tidak bergantung pada sokongan kerajaan tetapi secara agresif memperluaskan kehadiran mereka dalam media baru.
“Ketika editor atasan Utusan berpendapat Umno akan sentiasa berada di dalam kerajaan, pesaingnya mencari sumber pendapatan baru dan tidak bergantung kepada operasi percetakan mereka,” kata Megat Al Imran.
Nasib surat khabar berusia 80 tahun itu menjadi tajuk berita utama sepanjang minggu apabila diberitakan ia mungkin akan menghentikan operasi pada Rabu. – 22 Ogos, 2019.
Berita penuh di sini
Komen