Keputusan prosiding hina mahkamah peguam negara 27 Ogos


Noel Achariam

Koroner Rofiah Mohamad pada Selasa depan akan memutuskan sama ada akan memulakan prosiding menghina makkamah terhadap Peguam Negara Tommy Thomas atas komennya berkenaan inkues menyiasat kematian anggota bomba Mohamad Adib Kassim. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Koroner Shah Alam pada Selasa depan akan memutuskan sama ada boleh atau tidak memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap Peguam Negara Tommy Thomas atas komennya berkenaan inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.

Koroner Rofiah Mohamad berkata beliau akan meneliti permohonan yang difailkan oleh keluarga Adib, 27 Ogos ini.

Terdahulu, Peguam Kanan Persekutuan S. Narkunavathy berhujah tiada kes prima facie terhadap Thomas campur tangan dalam inkues.

Beliau memberitahu mahkamah permohonan ex-parte (sebelah pihak) keluarga Adib bagi permohonan menghina mahkamah tidak mempunyai maklumat yang terperinci.

“Peguam Adib perlu mengemukakan maklumat terperinci mengenai alasan mereka ke atas kes hina mahkamah.

“Mereka mendakwa yang AG (peguam negara) mengganggu inkues. Tetapi mereka tidak nyatakan bagaimana (AG ganggu inkues),” katanya kepada mahkamah.

Peguam keluarga Adib, Haniff Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata wujud alasan untuk mempercayai bahawa kenyataan Thomas pada 28 Mei lalu mengenai peguam Syazlin Mansor yang mewakili keluarga itu sebelum ini menghampiri hina mahkamah.

Thomas dalam kenyataannya berkata Pejabat Peguam Negara telah mengarahkan Syazlin menarik diri sebagai wakil kerajaan dari inkues tersebut kerana wujud konflik kepentingan apabila peguam itu pada masa yang sama juga mewakili keluarga Adib. – 21 Ogos, 2019.

Berita penuh di sini.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen