PESERTA dialog pengenalan tulisan Jawi di sekolah-sekolah vernakular bersama Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching diminta menyerahkan telefon bimbit mereka sebelum menyertai program berkenaan.
Pegawai kementerian memberitahu peserta daripada 13 badan bukan kerajaan (NGO) Cina dan India bahawa langkah itu bagi mengelakkan salah gambaran mengenai pertemuan berkenaan.
Telefon bimbit dikumpulkan di kaunter pendaftaran dan dikembalikan semula selepas sesi dialog.
Teo bercakap kepada peserta mengenai rancangan kementerian dan kandungan pelajaran Jawi yang akan diperkenalkan untuk murid-murid Tahun 4 di sekolah vernakular.
Kementerian berkata, kandungan pengajaran tertakluk kepada kelulusan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sekolah-sekolah vernakular.
Bagaimanapun subjek itu akan terus diajar di sekolah kebangsaan seperti dirancang.
Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar R Sivarasa berkata, Teo memberi taklimat kepada mereka mengenai kandungan pelajaran Jawi semasa pertemuan berkenaan.
“Tetapi ia belum dimuktamadkan. Taklimat ini bagi membantu peserta memahami apa yang terdapat dalam buku teks pelajaran Jawi termasuk pada duit kertas, lambang kebangsaan dan lain-lain.
“Ini membolehkan peserta mempunyai gambaran lebih jelas mengenai apa yang akan murid pelajari,” katanya.
Sivarasa berkata taklimat itu juga diadakan bagi menyelesaikan kekeliruan mengenai isu ini.
“Ramai orang tidak begitu jelas dengan keputusan dibuat Kabinet mengenai isu Jawi, jadi kementerian mengambil inisiatif mengadakan sesi dialog ini,” katanya. – 21 Ogos, 2019.
Komen