Lagi rusuhan di Papua


Kira-kira 1,000 orang merusuh di atas jalan di bandar Timika, membaling batu ke arah polis dan meruntuhkan pagar di sekeliling bangunan parlimen. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2019.

LEBIH 1,000 anggota keselamatan dikerah ke Papua, Indonesia susulan berlaku lagi rusuhan hari ini.

Kira-kira 1,000 orang merusuh di atas jalan di bandar Timika, membaling batu ke arah polis dan cuba meruntuhkan pagar di sekeliling bangunan parlimen.

Beberapa bangunan juga dibakar. Mereka bersurai apabila polis melepaskan tembakan amaran.

Bantahan juga berlaku di bandar Fakfak di pinggir barat pulau itu.

Ini merupakan kejadian terbaharu selepas beberapa bandar di Papua lumpuh akibat rusuhan pada Isnin termasuk di Manokrawi apabila bangunan parlimen dan perniagaan dibakar perusuh.

Semalam polis berkata mereka sedang memburu 250 banduan yang melarikan diri daripada penjara di bandar Sorong. Penjara itu turut dibakar semasa rusuhan kelmarin.

Beberapa anggota polis turut cedera dan tiada laporan rasmi mengenai jumlah orang awam yang cedera. Tiada kematian dilaporkan.

Seramai 1,200 anggota polis dan tentera tambahan dikerah ke Manokrawi dan Sorong, menurut pihak berkuasa Papua. – AFP, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen