SEORANG pegawai polis India dan seorang anggota militan terbunuh dalam pertempuran di Kashmir yang dikuasai India, lapor agensi berita Xinhua memetik sumber polis hari ini.
Pertembungan antara pasukan keselamatan dan militan itu bermula pada Selasa petang dan berlarutan sehingga Rabu pagi di daerah Baramulla, kira-kira 70 kilometer barat kota Srinagar, Kashmir yang dikuasai India.
Polis berkata seorang Pegawai Polis Khas (SPO) terbunuh dan terdapat juga mangsa yang cedera dalam pertempuran itu.
“Pertempuan telah berakhir, seorang pengganas terbunuh, identiti belum dikenal pasti. Senjata dan peluru turut ditemui. Rakan sekerja kami, SPO Billal terbunuh. Sub-Inspektor (SI) Amardeep Parihar cedera dan kini dirawat di Hospital Tentera Darat,” menurut Twitter polis pada Rabu.
Ia adalah pertempuran pertama antara pasukan keselamatan dan militan sejak kerajaan India pada 5 Ogos mengumumkan untuk memansuhkan Perkara 370 perlembagaan India yang memberikan autonomi kepada Jammu dan Kashmir.
Jammu dan Kashmir yang majoriti penduduknya beragama Islam terjerumus ke kancah ketegangan, susulan langkah India membatalkan status istimewa Jammu dan Kashmir yang membolehkan penduduknya menggubal undang-undang mereka sendiri dan menghalang orang luar menetap di wilayah itu.
Pemimpin dan penduduk Kashmir gusar andai usaha itu merupakan percubaan India untuk mengubah demografi negara. – Bernama, 21 Ogos, 2019.
Komen