Venezuela adakan rundingan sulit dengan AS


Presiden Venezuela Nicolas Maduro semalam mengesahkan telah mengadakan rundingan sulit dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara yang telah berlarutan sejak sekian lama. – Gambar EPA, 21 Ogos, 2019.

PRESIDEN Venezuela Nicolas Maduro semalam mengesahkan telah mengadakan rundingan sulit dengan pentadbiran Amerika Syarikat (AS) untuk menyelesaikan konflik antara kedua-dua negara yang telah berlarutan sejak sekian lama, lapor agensi berita Anadolu. 

“Terdapat beberapa perbincangan telah diadakan di antara pentadbiran Trump dan kerajaan Venezuela untuk mencari penyelesaian kepada konflik yang tercetus antara kita dan kerajaan Amerika Utara,” katanya pada satu majlis di bandar La Guaria.

Katanya, beliau akan terus berhubung dengan AS.

Bagaimanapun, pada Isnin Naib Presiden Parti Sosialis, Diosdado Cabello, menafikan terdapat perbincangan rahsia dengan AS.

Maduro turut menegaskan pihaknya akan senantiasa mempertahankan perpaduan di Venezuela dan sudah bersedia untuk mengadakan rundingan bagi mencari penyelesaian. 

“Tetapi andai anda menyerang kami, kami akan bertindak balas,” katanya.

Venezuela terjerumus ke dalam kancah pergolakan politik sejak 10 Januari lalu, sebaik Maduro mengangkat sumpah sebagai Presiden untuk penggal kedua.

Pada 23 Januari ketegangan terus memuncak apabila pemimpin pembangkang Juan Guaido mengumumkan dirinya sebagai presiden sementara.

Rusia, China, Iran serta Turki menyokong Maduro. 

Sementara Sepanyol, Britain, Perancis, Sweden, Jerman, Jepun serta Denmark menyokong AS dan Kanada mengiktiraf Guaido sebagai presiden sementara yang sah.  – Bernama, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen