Keputusan inkues kematian Adib pada 27 Sept


Noel Achariam

Kes berkenaan kini dimuktamadkan dan keputusannya akan disampaikan pada jam 10 pagi pada tarikh tersebut.– Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

MAHKAMAH Koroner Shah Alam akan mengumumkan keputusan inkues ke atas kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim pada 27 September.

Koroner Rofiah Mohamad berkata kes berkenaan kini dimuktamadkan dan keputusannya akan disampaikan pada jam 10 pagi pada tarikh tersebut.

“(Inkues) secara rasmi tamat selepas menerima hujahan (kesemua pihak),” katanya di Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini.

Seramai 30 saksi tampil memberi kenyataan sepanjang inkues yang berlangsung selama lima bulan itu.

Muhammad Adib, 24 parah selepas dipercayai diserang dan dipukul perusuh dalam kejadian kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November 2018.

Anggota bomba itu meninggal dunia di Institut Jantung Negara tiga minggu kemudian ekoran kecederaan yang dialaminya.

Kes itu menjadi perhatian meluas dan mencetus pelbagai kontroversi ekoran kenyataan bercanggah yang timbul sejak awal kes itu berlaku.

Pakar yang tampil memberi keterangan semasa inkues juga memberi keterangan berbeza mengenai kaedah siasatan bagi menentukan punca sebenar kematian Adib.

Seramai 24 orang dihadapkan ke mahkamah berhubung rusuhan yang berlaku semasa kematian Adib. – 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen