AUSTRALIA akan menyertai misi melindungi aktiviti perkapalan di sepanjang Selat Hormuz yang diketuai Amerika Syarikat (AS) ketika ketegangan dengan Iran kian memuncak, kata Perdana Menteri Scott Morrison hari ini.
Morrison berkata Australia akan menghantar sumbangan “sederhana” yang merangkumi sebuah kapal perang, pesawat peninjau maritim P8 dan anggota bantuan untuk misi yang juga akan disertai angkatan tentera Britain dan Bahrain.
“Ketidakstabilan ini satu ancaman kepada kepentingan Australia di rantau ini,” kata Morrison yang melahirkan kebimbangan atas beberapa insiden di laluan perkapalan penting sejak beberapa bulan lalu.
Setiausaha Negara AS Mike Pompeo dan Setiausaha Pertahanan Mark Esper ketika mengadakan lawatan ke Sydney awal bulan ini meminta bantuan Australia melakukan rondaan di Selat Hormuz.
Ia berikutan beberapa insiden termasuk rampasan kapal tangki melibatkan Iran dengan Britain dan AS.
Menteri Pertahanan Linda Reynolds berkata anggota tentera Australia akan menyertai ibu pejabat operasi di Bahrain dalam beberapa minggu akan datang. – AFP, 21 Ogos, 2019.
Komen