7 maut, 24 hilang hujan lebat di China


Tujuh maut manakala 24 lagi hilang selepas hujan lebat di Aba Tibetan dan Wilayah Autonomi Qiang yang terletak di barat daya Wilayah Sichuan, China. – Gambar fail AFP, 21 Ogos, 2019.

TUJUH maut manakala 24 lagi hilang selepas hujan lebat semalam membadai Aba Tibetan dan Wilayah Autonomi Qiang yang terletak di barat daya Wilayah Sichuan, China, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan pihak berkuasa tempatan pada Rabu.

Setakat 7 malam semalam, bencana yang dicetuskan hujan menjejaskan 17 perbandaran di wilayah dan menyebabkan enam orang cedera termasuk tiga dengan kecederaan parah, menurut biro pengurusan kecemasan wilayah itu.

Lebih 34,000 pelancong dipindahkan dari Daerah Wenchuan yang dilanda insiden tanah runtuh berikutan hujan lebat. Pemindahan lebih 13,000 pelancong di daerah itu sedang dilakukan.

Pihak berkuasa tempatan juga sedang melakukan usaha untuk memindahkan lebih 12,000 pelancong yang terperangkap di zon pentadbiran istimewa Wolong di Wenchuan.

Menjelang 12.15 tengah malam semalam, bekalan kuasa dan komunikasi kecemasan kembali ke Perbandaran Gengda di Wolong yang terjejas teruk, namun bekalan air terus berdepan gangguan.

Usaha mencari dan menyelamat masih dijalankan. – Bernama, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen