Kebakaran akibat api liar di Kepulauan Canary mulai reda


Pasukan bomba masih cuba kawal kebakaran akibat api liar di pulau peranginan Gran Canaria di Sepanyol dan kelajuan angin yang mulai perlahan mudahkan usaha itu. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2019.

PENDUDUK yang terpaksa meninggalkan rumah masing-masing selepas berlaku kebakaran akibat api liar di pulau peranginan Gran Canaria di Sepanyol, mula pulang kembali pada Selasa, walaupun bomba masih cuba mengawal kebakaran itu.

Api setinggi 50 meter menyukarkan lagi usaha memadam kebakaran sejak Sabtu di bahagian barat pulau gunung berapi di barat daya Afrika itu, menyebabkan penduduk di beberapa kampung di situ dengan populasi 10,000 orang diarahkan berpindah ke tempat selamat.

Angin yang berkurangan semalam mendorong api mula untuk stabil dan penduduk dapat pulang ke rumah, kata Presiden Kepulauan Canary Torres menerusi Twitter.

“Tahap kebakaran pada awalnya dijangka lebih rendah, dan ia sesuatu yang bagus,” kata ketua perkhidmatan kecemasan pulau itu Federico Grillo.

Kelajuan angin yang berkurangan mencegah kebakaran dalam insiden api liar terburuk di Sepanyol tahun ini, daripada memasuki kawasan hutan simpan negara Inagua, yang juga menjadi kediaman bagi “blue chaffinch”, sejenis burung seperti kenari, dan ia jarang ditemui.

Terdapat kira-kira 400 burung itu yang tinggal. Sebahagian Inagua musnah dalam satu kebakaran besar pada 2007.

Kebakaran itu memasuki Tamadaba, taman negara di bahagian utara Inagua yang dianggap sebagai kawasan hijau pulau itu yang terletak di tengah kepulauan Canary. – AFP, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen