SEORANG lelaki di Rio De Janeiro yang cuba merampas sebuah bas penuh dengan penumpang bersenjatakan pistol palsu berjaya ditembak mati oleh polis, semalam.
Ketika kejadian lelaki itu menahan puluhan penumpang bas sebagai tebusan selama beberapa jam, di jambatan utama pada waktu puncak.
Insiden berlaku di jambatan transit menghubungkan Rio de Janeiro dan Niteroi.
Polis berkata lelaki terbabit turut memiliki pistol pegun, pemetik api dan botol plastik berisi petrol.
Jurucakap polis, Leftenan Kolonel Maurilio Nunes menyifatkan lelaki itu sebagai psikotik dan memberitahu wartawan penembak tepat diberi kebenaran untuk menembak perampas.
Lelaki itu ditembak ketika keluar sekejap dari bas terbabit, kerana polis khuatir beliau akan membakar kenderaan itu.
“Lelaki itu meletak botol plastik mengandungi petrol di beberapa bahagian dalam bas,” kata Nunes.
Tentera dan polis dalam satu kenyataan berkata perampas itu meninggal dunia di hospital.
“Seramai 37 penumpang berada di dalam bas ketika ia dirampas dan enam penumpang dibebaskan hasil rundingan.
“Namun, tiada tebusan yang cedera sepanjang hampir empat jam kejadian itu berlaku,” katanya.
Sementara itu, media tempatan melaporkan lelaki itu dikenali sebagai Willian Augusto da Silva, 20, yang membawa pistol palsu. – AFP, 21 Ogos, 2019.
Komen