Keanu Reeves kembali jadi Neo dalam Matrix 4


Pelakon Keanu Reeves dan Carrie-Anne Moss akan kembali dalam filem The Matrix 4, memegang watak utama Neo dan Trinity. – Gambar AFP, 21 Ogos, 2019.

FILEM fiksyen sains “The Matrix” akan kembali dengan filem keempatnya bersama Keanu Reeves kekal dengan watak hero, Neo yang pintar kung fu dan berkaca mata gelap, umum Warner Bros.

Lana Wachowski akan menjayakan projek itu, kembali sebagai penulis, pengarah dan penerbit sambungan terbaru siri filem terkenal itu.

Filem itu berkisar tentang manusia yang terperangkap dalam realiti maya oleh mesin, yang berjaya merangkul lebih AS$1.6 bilion di seluruh dunia.

“Kami sangat teruja untuk masuk semula dalam The Matrix bersama Lana,” kata pengerusi studi itu Toby Emmerich.

Lana dan kakaknya Lilly – yang pada mulanya dikenali sebagai adik-beradik Wachowski, Andy dan Larry sebelum bertukar jantina – mengarahkan trilogi asal.

Warner Bros tidak memberikan perincian sama ada filem baharu itu akan menjadi sambungan langsung, berkata ia tentang dunia “The Matrix”, dan tidak memberikan tarikh siaran.

Filem asal The Matrix tentang sekumpulan pemberontak yang melawan mesin pintar pada zaman masa depan di mana manusia menjadi hamba dalam Matrix – realiti maya yang membayangkan dunia kontemporari.

Neo ialah hero yang dalam misi untuk menyelamatkan manusia.

Carrie-Anne Moss juga akan kembali memegang peranan sebagai Trinity.

Filem The Matrix berusia 20 tahun, pada tahun ini, dengan tayangan istimewa dirancang diadakan di Amerika Syarikat hujung bulan ini.

Filem ketiga dalam siri itu, “The Matrix Revolutions” (2003), menjadi filem pertama ditayangkan serentak di seluruh dunia. – AFP, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen