ARAB Saudi mula melaksanakan perubahan baharu dengan membenarkan wanita 21 tahun ke atas menerima pasport dan melakukan perjalanan ke luar negara tanpa perlu mendapat kebenaran daripada penjaga lelaki iaitu mahram mereka.
Perubahan yang diumumkan awal bulan ini, mengurangkan sekatan sistem penjaga yang sekian lama menjadi simbol penindasan terhadap wanita.
“Jabatan pasport mula menerima permohonan bagi wanita 21 tahun ke atas untuk mendapatkan pasport atau memperbaharu pasport untuk ke luar negara itu tanpa kebenaran,” kata jabatan itu di Twitter.
Wanita di negara itu sejak dulu perlu mendapatkan kebenaran daripada muhrim – sama ada suami, bapa atau saudara lelaki yang lain – untuk keluar, satu sekatan yang menerima kecaman antarabangsa.
Perubahan itu dilakukan selepas beberapa cubaan wanita di Arab Saudi yang melarikan diri selepas didakwa didera oleh penjaga walaupun Putera Mahkota Mohammed bin Salman mula memberi kelonggaran termasuk menarik balik larangan wanita memandu.
Antara perubahan lain yang diumumkan awal bulan ini, wanita Arab Saudi juga diberikan kebenaran untuk secara rasmi mendaftar kelahiran, perkahwinan atau perceraian dan diiktiraf sebagai penjaga untuk kanak-kanak bawah umur – sama seperti hak lelaki.
Perubahan itu diraikan secara meluas di Arab Saudi, tetapi turut menerima kecaman daripada pihak konservatif, di mana raya yang berkongsi video lama khutbah di media sosial oleh ulama Arab Saudi berkenaan undang-undang muhrim.
Ada juga berkata perubahan itu tidak Islamik dalam masyarakat yang secara tradisinya melihat lelaki sebagai pelindung wanita. – AFP, 21 Ogos, 2019.
Komen