Mahkamah Australia tolak rayuan pedofilia Kardinal Pell


RAYUAN Kardinal George Pell, 78, yang disabitkan bersalah melakukan penderaan seksual terhadap kanak-kanak ditolak oleh Mahkamah Australia semalam.

Bekas pegawai rasmi ketiga tertinggi di Vatican itu dijatuhi hukuman penjara enam tahun atas kesalahan melakukan serangan seksual terhadap dua remaja kumpulan koir di gereja Melbourne pada 1990-an. Kedua-dua mangsa berusia 13 tahun ketika serangan.

“Tertuduh akan terus menjalani hukuman penjara enam tahun,” kata Ketua Hakim Anne Ferguson, menolak rayuan daripada peguam Pell.

Pell, paderi Katolik paling kanan yang disabitkan bersalah sebagai pedofilia, di mana keputusan terhadap kes itu menjadi penguji kepada penganut dan kumpulan mangsa di seluruh dunia.

Sejumlah besar mangsa, peguam dan media berkumpul di luar mahkamah menunggu keputusan hakim, dengan ramai yang beratur dalam barisan panjang untuk masuk ke bangunan mahkamah.

Selepas lebih dua bulan, panel tiga hakim rayuan menyampaikan keputusan mereka.

Peguam bela membangkitkan 13 bantahan terhadap sabitannya, menimbulkan keraguan berkenaan semuanya, daripada kemungkinan fizikal, Pell membuka jubahnya hinggalah kepada kredibiliti saksi utama.

Mereka berhujah keputusan itu “tidak munasabah”.

Kes itu luar biasa apabila ia bergantung pada keterangan secara tertutup, satu-satunya saksi yang masih ada, dan namanya tidak boleh didedahkan atas alasan undang-undang.

Keputusan itu memberi pelbagai implikasi bagi kes serangan seksual kerana ia bergantung pada satu saksi saja.

Pada Isnin, bapa kepada mangsa kedua – yang meninggal dunia kerana pengambilan dadah berlebihan pada 2014 – menyatakan harapannya supaya keadilan dapat ditegakkan. – AFP, 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen