‘PM ke-8’ kongsi idea di sesi town hall


Chan Kok Leong

Presiden PKR Anwar Ibrahim diraikan sebagai perdana menteri kelapan pada sesi town hall pertamanya di Kuala Lumpur, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 21 Ogos, 2019.

PRESIDEN PKR Anwar Ibrahim berulang kali menggesa partinya berhenti membuat spekulasi tentang bila beliau akan mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.

Tetapi, gesaannya itu tidak dapat menghentikan Ahli Parlimen Pasir Gudang Hassan Karim daripada membuat desakan secara terbuka untuk Dr Mahathir meletak jawatan.

Malah, gesaan Anwar itu juga tidak dapat menghalang ahli PKR daripada meraikannya sebagai “perdana menteri ke-8” pada sesi town hall pertamanya di Kuala Lumpur, malam tadi.

Di auditorium Kompleks Darul Puteri, Anwar disambut dengan kain rentang yang menamakan ahli Parlimen Port Dickson berusia 72 tahun itu sebagai perdana menteri kelapan.

Ada juga kain rentang pelancaran perbincangan buku untuk “Anwar PM Ke-8: Janji Serah Kuasa Yang Mesti Ditepati”.

Dan walaupun moderator Che Zam Hamzah dan Zahir Hassan tidak menyentuh tentang rancangan peralihan itu, beberapa soalan daripada peserta bertanya Anwar rancangannya dalam mengetuai Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya umum akan datang sebagai perdana menteri.

“Sama ada kita kerajaan satu penggal atau tidak, ia bergantung pada kemampuan kita melaksanakan perubahan yang kita janjikan.

“Dan walaupun ada kelemahan dalam kerajaan sekarang, kita tahu bahawa perubahan sudah pun bermula.

“Saya yakin jika kita ada pemimpin yang jujur dan boleh melawan rasuah dan mengelak ketirisan, pengundi akan terus menyokong PH pada pilihan raya umum akan datang,” kata Anwar menjawab soalan sama ada PH akan hanya jadi kerajaan satu penggal.

Anwar berkata mereka yang memegang jawatan dalam kerajaan tetapi tidak berkongsi pandangan yang sama dengannya, patut berundur.

Beliau yang pernah beberapa kali dipenjarakan sepanjang kerjaya politiknya, turut berjanji untuk terus mempertahankan golongan miskin apabila menjadi perdana menteri nanti.

“Saya pernah dipenjarakan kerana membela golongan miskin di Baling dan sebagainya. Saya akan terus membela nasib mereka.”

Tetapi katanya ia usaha negara kerana kerajaan tidak boleh melakukannya sendirian.

“Pemimpin korporat juga perlu mainkan peranan. Ada ketika sesetengah syarikat untung berbilion sementara pekerja mereka sendiri hidup dalam keadaan yang teruk,” kata Anwar.

Ahli Parlimen itu juga menunjukkan bagaimana beliau dapat menjadi pemimpin untuk semua apabila mempertahankan DAP, yang menjadi sasaran pembangkang, Umno dan PAS.

“Sasaran mudah ialah saya tetapi sekarang DAP. Tetapi kita lihat secara objektif. Bagaimana kita boleh salahkan DAP kerana kualiti pendidikan atau hal ehwal masjid?

“Jangan tutup kelemahan kita dengan menyalahkan kaum lain. Serangan terhadap DAP adalah serangan tertutup terhadap Cina tetapi jika mereka cakap secara terus ia akan dilihat sebagai rasis. Jadi mereka serang DAP.

“Tidak benar DAP lebih dominan dalam Kabinet. Semua yang ada dalam Kabinet memegang tanggungjawab secara kolektif. Malah saya sendiri yang tidak berada dalam Kabinet berusaha keras untuk tidak bercanggah dengan Kabinet secara langsung kerana saya juga pemimpin PH,” kata Anwar.

Beliau juga menolak dakwaan pertelingkahan antaranya dengan timbalan presiden parti Azmin Ali menyebabkan perpecahan dalam PRK.

“Pergaduhan dalam tidak begitu serius. Baru-baru ini lebih 90% ketua bahagian mengumumkan sokongan mereka terhadap saya.

“Jadi, seteruk mana boleh jadi bila hanya sedikit saja masih tidak menyokong?”

Dr Mahathir dan Anwar berulang kali menekankan bahawa peralihan kuasa akan berlangsung seperti dirancang dan Anwar sendiri berkata ia sudah dipersetujui.

Tetapi buat masa ini, Anwar akan tampil dalam “jelajah PM” dengan Kuala Terengganu sebagai hentian berikutnya pada Sabtu. – 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen