Umno Selangor kecam Pakatan potong bajet program bantuan


Sheridan Mahavera

Selangor pada bajet 2019 potong beberapa program bantuan untuk penduduk miskin, antaranya khairat kematian, bekalan makanan bulanan dan memotong lebih separuh penerima program air percuma. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

SELANGOR, negeri terkaya di negara ini menghentikan program bantuan untuk penduduk berpendapatan rendah dan pemimpin pembangkang bimbang banyak lagi akan dipotong tahun depan.

Kebanyakan program terbabit ialah di bawah Inisiatif Peduli Rakyat (IPR) seperti Skim Peduli Sihat untuk kumpulan B40 bagi rawatan di klinik swasta dan KISS, yang memberikan bekalan makanan bulanan kepada penduduk miskin.

Dalam Bajet 2019, Selangor turut memotong program air percuma sehingga lebih separuh berbanding peruntukannya pada 2018.

Tindakan itu menyebabkan Ketua Pembangkang Selangor Rizam Ismail mempersoalkan sama ada akan banyak lagi potongan dibuat tahun depan apabila kerajaan negeri Pakatan Harapan (PH) Selangor membentangkan Bajet 2020.

Antara bantuan lain yang dipotong ialah bayaran khairat kematian RM2,500 untuk rakyat Selangor bagi membantu bayaran kos pengebumian, kata Rizam.

Dalam ucapan Bajet 2019, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata potongan itu dibuat kerana kerajaan negeri menyelaraskan dan menyusun semula program berkenaan.

Adun Air Tawar yang juga ketua pembangkang negeri Rizam Ismail mempersoalkan adakah kerajaan PH Selangor akan memotong lagi bantuan untuk rakyat negeri itu dalam Bajet 2020. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Ogos, 2019.

Tetapi Rizam berkata tindakan itu mencerminkan salah pengurusan dalam kerajaan PH Selangor hingga menyebabkan pendapatan negeri berkurangan.

“Kita risau trend ini akan berpanjangan dan akan memberi impak kepada Bajet 2020 Selangor. Bukan saja dana untuk program kena potong, jumlah penerima pun dikurangkan daripada dulu,” kata Rizam yang juga Adun Sungai Air Tawar.

“Kalau Selangor dulu bawah (bekas menteri besar) Khalid Ibrahim boleh beri banyak peruntukan, kenapa dia tak boleh buat sekarang?

“Adakah kerana dia menang besar pada PRU14 dan menang kerajaan pusat dia rasa dia boleh buat sesuka hati?,” kata Rizam kepada The Malaysian Insight.

Menang majoriti lebih besar

Selangor jatuh kepada parti dalam Pakatan Rakyat, DAP, PKR dan PAS pada pilihan raya umum (PRU) 2008.

Dalam PRU 2013, Pakatan Rakyat yang juga pendahulu kepada PH hari ini, bertambah majoritinya dalam kerajaan negeri Selangor daripada 36 daripada 56 kerusi kepada 44 kerusi.

Pada PRU14 tahun lalu, PH menang 50 kerusi DUN di Selangor.

Inisiatif seperti program air percuma Selangor, bantuan khairat kematian, tabung amanah (TAWAS) dan skim bantuan warga emas antara sebab kenapa PH dapat meluaskan kuasanya di negeri itu.

Kegembiraan terhadap kemenangan besarnya di Selangor kemudian hampa apabila PH mengumumkan bajet RM2.65 bilion untuk 2019, kurang kira-kira RM470 juta berbanding peruntukan bagi bajet 2018.

Potongan terbesar ialah dalam program air percuma iaitu daripada RM185 juta pada 2018 kepada RM80 juta pada 2019, menurut perbandingan ucapan bajet kedua-dua tahun itu.

Bermula tahun ini, air percuma hanya diberikan kepada isi rumah B40 yang berdaftar dalam daftar e-kasih kerajaan persekutuan.

Pada 2018, RM72 juta diperuntukkan untuk KISS, satu program di mana RM200 setiap bulan diberikan kepada ibu berpendapatan rendah untuk membeli barangan rumah dan kelengkapan peribadi di pasar raya terpilih.

Pada 2019, Amirudin berkata hanya RM50 juta diperuntukkan untuk KISS.

Peruntukan juga dipotong separuh bagi Skim Peduli Sihat, satu lagi program popular membolehkan keluarga berpendapatan rendah memperoleh RM500 setahun untuk rawatan di klinik swasta.

Pada 2018, RM20 juta diperuntukkan untuk Peduli Sihat, berbanding RM10 juta pada 2019.

Dalam ucapan Bajet 2019, Amirudin berkata Selangor menstrukturkan semula semua program kebajikannya termasuk KISS dan Peduli Sihat bagi memastikan ia akan hanya memberi manfaat kepada mereka yang layak.

“Program ini akan lebih memberi fokus kepada golongan sasar yang memerlukan dan bukan di beri secara purata saja. Dengan erti kata lain, pelaksanaan program ini akan lebih strategik dan memberi impak yang lebih kepada golongan sasar iaitu B40,” katanya.

Rizam, daripada Barisan Nasional tidak dapat menerima rasional kerajaan negeri untuk memotong bajet bagi program bantuan berkenaan.

“Rakyat rasa kena tipu besar besaran pada PRU14. Dia bagi PH menang besar tapi lepas dia menang, dia potong program untuk rakyat,” katanya. – 21 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen