PENTERNAK ikan di Teluk Bahang, Pulau Pinang sedia gulung tikar selepas menanggung kerugian sehingga RM500,000 selepas ternakan mereka musnah dipercayai kesan projek tambak laut di perairan negeri itu.
Mereka akur terpaksa menutup penternakan ikan sangkar itu jika tiada pihak tampil untuk membantu mereka menampung kerugian selepas memulakan perusahaan dengan kos yang tinggi.
Penternak yang ditemui The Malaysian Insight juga mendakwa belum ada pemimpin negeri atau persekutuan yang datang menjenguk mereka, walaupun selepas lebih 50,000 ekor ikan pelbagai jenis ditemui mati pada 11 Ogos lalu, dalam kejadian kali kedua pada tahun ini.
Lim Soh Giah, 55, kini hilang punca pendapatan kerana ternakan yang beliau usahakan sejak 30 tahun hilang sekelip mata.
“Tiga puluh tahun tak pernah (ikan) mati, sekarang sudah habis, macam mana saya mahu hidup? Kami pun ingat tidak mahu meniaga lagi kalau tidak dapat apa-apa (bantuan).
“Benih saja untuk seekor RM7, kalau beli mesti 20,000 hingga 30,000 ekor. Makanan ikan pun kena beli, mana mahu cari duit?” katanya ketika ditemui di Jeti Taman Negara Teluk Bahang, Pulau Pinang, awal minggu ini.
“Kerugian yang kita laporkan adalah sebanyak RM650,000. Mana saya mahu cari duit? Kerajaan pun tak cakap apa-apa untuk beri ganti rugi atau pampasan.
“Ikan mati di sini, bukan pertama kali. Mei lepas ada, kami sudah buat laporan tetapi sampai sekarang masih senyap saja,” tambah ayah kepada seorang anak itu.
“Sama ada pegawai, wakil rakyat, atau menteri tiada seorang pun datang. Tiada siapa pun datang tengok, macam mana kami mahu berbincang?”

Katanya, yang datang hanya wakil Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) bertanyakan jumlah kerugian.
Universiti Sains Malaysia (USM) juga, katanya, datang untuk mengambil contoh air.
Kajian Pusat Kajian Samudera dan Pantai USM yang menyiasat punca kematian ikan di Teluk Bahang mendapati kandungan logam berat di kawasan perairan itu tinggi tetapi bukan punca ikan mati.
Pengarahnya Tan Shau Hwai berkata kadar nutrien di kawasan itu yang diperlukan ikan juga masih tinggi.
Menurut Lim, ada lima atau enam penternak ikan di perairan Teluk Bahang dan mereka membekalkan ikan kebanyakannya ke pasar di Pulau Pinang dan beberapa pembeli di Kedah.
Katanya, mereka percaya kerja mengorek dan menambak laut semakin meningkat di Pulau Pinang sejak beberapa tahun kebelakangan ini.
Lim tidak percaya dengan dakwaan exco alam sekitar Pulau Pinang, Phee Boon Poh bahawa ikan mati kerana kurang oksigen. Katanya, dakwaan itu tidak masuk akal.
“Semua ikan mati, mana dia tahu (laut) tiada oksigen? Kita berniaga di sini sudah 30 tahun, sejak kecil. Selut yang dibuang itu busuk, itu sebab ikan mati.
“Tapi mereka (kerajaan) cakap macam itu, kami pun tidak boleh buat apa-apa,” katanya.
Tambah beliau, seorang lagi nelayan sudah membuat laporan polis selepas melihat sebuah kapal korek membuat selut di kawasan perairan dekat Butterworth. Nelayan itu merakamkan kegiatan itu dekat pelabuhan Butterworth.
Seorang lagi penternak ikan, Ooi Hye Hin, 56, berkata beliau yakin ikan itu mati kerana selut daripada kegiatan mengorek pasir.
“Bukan sekali saja, tetapi banyak kali nampak ada kapal buang tetapi kami tiada bukti. Baru-baru ini, dapat rakam video.
“Mereka buang dekat dengan kawasan kami, 3 batu saja. Itu tempat banyak ikan, ikan pun banyak lari dan mati,” katanya.
Ooi yang mendakwa menanggung kerugian hampir RM800,000, berkata beliau tidak ada jalan bagaimana boleh menghidupkan semua penternakan ikannya tanpa bantuan atau pampasan.
Lim pula berkata kalau beliau dapat memulakan penternakannya semula pun, perusahaan itu sudah tidak lagi menentu kerana pembangunan di Pulau Pinang kini semakin pesat.
Selain penternak ikan di Teluk Bahang, nelayan di Pulau Pinang dan utara Perak juga sebelum ini menyuarakan kebimbangan akan masa depan mereka selepas kerajaan negeri mendapat kelulusan persekutuan untuk meneruskan projek Tambakan Pulau Pinang Selatan.
Nelayan itu berkata projek yang bertujuan mewujudkan pulau buatan seluas 1,800 hektar itu akan menyebabkan mendapan kelodak dan menjejaskan antara kawasan perikanan dan pembiakan udang yang utama di Semenanjung Malaysia.
Aktivis alam sekitar juga sebelum ini menyuarakan kebimbangan kegiatan mengorek pasir di utara Perak akan menjejaskan perikanan di Pulau Pinang, serta mengurangkan hasil tangkapan.
Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menjelaskan, punca ikan mati masih belum muktamad kerana USM masih meneruskan kajian di kawasan itu. – 21 Ogos, 2019.
Komen