Pemimpin Pakatan seru rakyat hadir himpunan 14 Oktober


Chan Kok Leong

Presiden Amanah, Mohamad Sabu menyeru rakyat Malaysia bersatu menunjukkan kepada Barisan Nasional mereka tidak berpuas hati dengan kerajaan pemerintah semasa berceramah pada majlis 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' di Selangor malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Oktober, 2017.

SIRI ceramah kleptokrasi ceramah mungkin akan berakhir tetapi “persembahan” baru bermula bagi Pakatan Harapan (PH) ketika ia cuba mengatasi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

Walaupun tiada kekurangan penceramah utama di Pandamaran malam tadi, tumpuan utama diberi kepada perhimpunan besar di Padang Timur pada 14 Oktober nanti.

Daripada penceramah pertama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pandamaran Eric Tan hinggalah penceramah terakhir Muhyiddin Yassin, kebanyakannya menyeru agar lebih 1,000 pengundi di Klang malam tadi menyertai perhimpunan pada Sabtu.

Walaupun Muhyiddin merupakan penceramah utama di ceramah “Sayangi Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Selangor, lebih perhatian diterima oleh Timbalan Presiden PH Mohamad Sabu.

Penuh dengan kata-kata yang ironik dan jenaka, beliau yang lebih dikenali sebagai Mat Sabu menerima perhatian hadirin yang berbagai bangsa ketika bertanya umur kepada seorang lelaki.

“Lapan puluh,” jawab lelaki berbangsa Sikh itu.

Mat Sabu berkata: “Jadi anda tiada alasan untuk tidak menghadiri perhimpunan besar pada 14 Oktober. Malah semua yang berusia di bawah 92 tahun perlu datang pada Sabtu kerana Dr Mahathir Mohamad dan isterinya Dr Siti Hasmah (Mohamad Ali) akan datang.”

Presiden Amanah itu berkata rakyat Malaysia perlu keluar bersatu untuk menunjukkan kepada BN ereka tidak berpuas hati dengan kerajaan pemerintah.

“Kalau awak tidak datang, saya akan datang dan cari kamu,” katanya sambil disambut gelak ketawa orang ramai.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir mengakui Umno menakutkan rakyat dengan faktor DAP semasa berceramah pada majlis 'Sayangi Malaysia, Hapus Kleptokrasi' di Selangor malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Oktober, 2017.

“Momok” DAP

Satu lagi perkara yang ditekankan semasa ceramah selama tiga jam itu adalah tuduhan yang DAP adalah kuasa sebenar di sebalik PH.

Timbalan Presiden Bersatu Mukhriz Mahathir berkata beliau bersalah atas dakwaan itu ketika beliau bersama Umno.

“Ini adalah taktik Umno terhadap pembangkang. Saya juga telah melakukannya ketika berada dalam Umno. Tetapi ini semua tidak benar kerana DAP hanya bertanding lebih daripada 40 kerusi.

“Majoriti kerusi masih dipertandingkan oleh PKR, Bersatu dan Amanah. Dan dengan itu, jika kita berjaya menawan Putrajaya, majoriti ahli Parlimen tetap Melayu,” kata bekas timbalan menteri Umno itu.

Terdahulu, Penasihat DAP, Lim Kit Siang dalam satu kenyataan beliau tidak pernah memikirkan untuk menjadi perdana menteri sepanjang 52 tahun berkecimpung dalam politik pada hari yang sama, Ketua Penerangan Umno, Annuar Musa terus menjual naratif “momok” DAP di Bachok.

“Kita mesti menentang mana-mana pihak yang menyokong DAP kerana kita tidak mahu DAP ‘mengambil alih’ walaupun ia bukan parti pemerintah seperti apa yang berlaku di Selangor,” kata Annuar.

Perjuangan diteruskan

Walaupun ia ceramah terakhir di Selangor di bawah siri kempen anti kleptokrasi, Muhyiddin berkata ini bukan pengakhiran segala-galanya.

“Ini hanya permulaan. Kami akan meneruskan perhimpunan besar pada 14 Oktober (di Padang Timur). Dan kita akan meneruskannya sehingga hari pilihan raya.

“Ceramah perlu sampai kepada semua lapisan masyarakat di bawah dan kami akan memberi tumpuan kepada kerusi seperti Felda dan yang kami rasa penting kepada kami. Mesej itu mesti disampaikan,” kata Muhyiddin selepas ceramah itu.

Presiden Bersatu itu berkata PH akan menggandakan usaha kerana pilihan raya mungkin diadakan pada bila-bila masa dari sekarang hingga Ogos tahun depan.

“Kita tidak tahu bila pilihan raya dan kita tidak boleh mengambil sebarang risiko.

“Kita perlu menangani ketakutan orang Melayu, Cina dan India yang BN cipta. Masih banyak yang perlu dilakukan.”

Penceramah lain malam tadi ialah Azmizam Zaman Huri dan Nurul Izzah Anwar daripada PKR; Lim, Charles Santiago dan Tony Pua daripada DAP; serta Dr Rais Husin daripada Bersatu. – 9 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen