PUTRAJAYA perlu teruskan pertemuan dengan aktivis anti-Lynas untuk menyemak semula keputusannya untuk membenarkan loji pemprosesan nadir bumi terus beroperasi di Malaysia, kata Ahli Parlimen Port Dickson, Anwar Ibrahim.
“Saya menyokong usaha untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan bagi menyemak semula keputusan. Ini perlu dilakukan menerusi rundingan antara aktivis dan kerajaan.
“Saya percaya perlu ada keterbukaan untuk mengadakan rundingan,” kata presiden PKR itu selepas mengadakan pertemuan dengan badan masyarakat dan pemimpin Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung keputusan kerajaan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas selama enam bulan.
Putrajaya pada 15 Ogos lalu memutuskan untuk melanjutkan lesen operasi Lynas Advanced Materials Plant (LAMP) selama enam bulan dengan bersyarat.
Antara syarat yang dikenakan terhadap kilang nadir bumi itu ialah pemindahan proses ‘Cracking and Leaching’ ke luar negara dan pembinaan Kemudahan Pelupusan Kekal (PDF).
Keputusan itu disusuli dengan bantahan daripada aktivis anti-Lynas yang mengadakan perhimpunan di Kuantan, Ahad lalu. – 20 Ogos, 2019.
Komen