SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Mike Pompeo menyifatkan tindakan melepaskan kapal tangki Iran sebagai ‘malang’.
Kapal tangki itu yang ditahan Britain sejak beberapa minggu lalu, kini sudah pun meninggalkan Gibraltar, lapor agensi berita Xinhua.
“Amat malang kapal itu dilepaskan,” kata pegawai AS itu ketika ditemuramah rangkaian berita AS, Fox News.
Data yang diperoleh daripada perkhidmatan menjejak kapal MarineTraffic menunjukkan kapal minyak itu belayar sejurus sebelum tengah malam Ahad ke arah perairan antarabangsa dan menuju ke pelabuhan Kalamata di Greece, menurut media.
Gibraltar sebelum ini menolak permintaan AS supaya menahan kapal itu yang mengangkut 2.1 juta tong minyak, yang menurut Washington ‘ada kaitan tersirat’ dengan sekatan AS terhadap Iran.
Menurut perundangan, sekatan AS itu hanya terpakai berkaitan dagangan antara Amerika dan Iran serta tidak membabitkan negara lain.
Dalam temuramah pada Isnin, Pompeo mendakwa jika Iran berjaya mendapat untung hasil jualan minyak daripada kapal itu, pasukan tentera elit Iran akan ‘mempunyai lebih banyak wang, kekayaan, lebih berkemampuan untuk meneruskan kempen keganasan serta meneruskan kempen pembunuhan mereka di Eropah’.
Seorang pegawai Jabatan Negara AS yang tidak mahu mendedahkan namanya berkata kepada media pada Isnin, Washington sudah menyuarakan pandangan kerasnya kepada pihak berkuasa Greece dan semua pelabuhan di Mediterranean.
Pegawai itu berkata, bantuan terhadap kapal tangki Iran akan dianggap sebagai sokongan terhadap pertubuhan yang dituduh AS sebagai pengganas asing, lapor media.
Sementara itu, Kementerian Luar Iran pada Isnin memberi amaran terhadap sebarang cubaan AS untuk merampas kapal tangki berkenaan.
Kapal itu ditahan pada Julai lalu di perairan Gibraltar, wilayah Britain kerana disyaki cuba menyeludup minyak ke Syria dan mencabuli sekatan EU.
Bagaimanapun, Iran menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu. – Bernama, 20 Ogos, 2019
Komen