UMNO Selangor akan memberi sokongan penuh kepada Menteri Besar Amiruddin Shari agar pindaan ke atas Enakmen Pentadbiran Islam berhubung penukaran agama kanak-kanak di bawah 18 tahun dapat diluluskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri.
Pengerusinya Mat Nadzari Ahmad Dahlan berharap Amirudin dapat membawa usul pindaan itu untuk dibentangkan pada persidangan DUN yang dijangka berlangsung pada November ini.
“Kalau boleh kita harap enakmen ini dapat dibentang dalam sidang akan datang.
“Kami tak ada masalah sokong menteri besar untuk memastikan ia diluluskan,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor, Shah Alam.
Beliau berkata tidak ada sebab cadangan pindaan enakmen itu tidak boleh dibentangkan kerana ia tidak berpelembagaan seperti yang didakwa DAP.
Tegasnya, enakmen itu langsung tidak menyalahi undang- undang tubuh negeri kerana ia hanya bertujuan untuk menyelaraskan pindaan terjemahan pentafsiran dalam bahasa Melayu.
“Yang nak ditukarkan ialah dalam bentuk pentafsiran dan ia dibenarkan dalam Undang- Undang Tubuh Negeri.
“Ia tidak langsung melanggar perlembagaan negara,” katanya.
Selangor merancang untuk membentangkan pindaan ke atas enakmen itu bagi membenarkan seseorang berusia di bawah 18 tahun memeluk Islam dengan mendapat kebenaran sepihak ibu atau bapa.
Pindaan itu untuk mengubah peruntukannya kepada “ibu atau bapa”.
Enakmen itu menyatakan mereka yang berusia 18 tahun ke bawah perlu mendapat kebenaran “ibu dan bapa” sebelum memeluk Islam.
Versi Bahasa Malaysia dalam Perlembagaan Persekutuan juga merujuk “ibu atau bapa” berkaitan penukaran agama.
Bagaimanapun, usaha itu didakwa mendapat tentangan daripada pemimpin DAP negeri menyatakan ia tidak berpelembagaan.
Speaker DUN Selangor Ng Suee Lim didakwa enggan menandatangani dokumen bagi membenarkan enakmen itu dibentangkan.
Beliau juga memendekkan sesi sidang DUN selama dua bagi menghalang enakmen itu dibentangkan.
Namun Ng menafikan dakwaan tersebut dan berkata beliau menangguhkan sidang Dun lebih awal kerana tiada lagi urusan mesyuarat dan bukannya untuk menghalang pindaan enakmen penukaran agama. – 20 Ogos, 2019
Komen