PUTRAJAYA tidak boleh menyelamatkan Kumpulan Utusan Melayu Berhad kerana ia sebuah syarikat swasta, kata Presiden PKR Anwar Ibrahim.
Namun pada masa sama, adalah tidak wajar menyalahkan Pakatan Harapan atas masalah kewangan yang dihadapi oleh Utusan sekarang, katanya.
“Utusan sudah rugi bertahun-tahun dan keadaannya diburukkan lagi apabila berlaku peralihan kerajaan kerana ia tidak lagi dilindungi,” kata Anwar, selepas mengadakan pertemuan dengan badan masyarakat dan pemimpin Pakatan Harapan Wilayah Persekutuan di Kuala Lumpur, hari ini.
Anwar mengulas kenyataan bekas presiden Umno Najib Razak di Facebook malam tadi yang memindahkan beban kesalahan nasib Utusan kepada Pakatan Harapan.
Bekas perdana menteri itu berkata Umno tidak lagi boleh membantu Utusan kerana akaun banknya dibekukan oleh Putrajaya atas dakwaan menerima duit daripada syarikat terbelit skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Bagaimanapun, adalah baik sekiranya sesuatu dapat dilakukan untuk selamatkan Utusan,” kata Anwar, yang juga ahli Parlimen Port Dickson.
Anwar mengingatkan akan peranan penting yang sudah Utusan mainkan ketika perjuangan menuntut kemerdekaan ketika ia menjadi medan cerdik pandai Melayu melontarkan idea dan pandangan.
Katanya, Utusan ada tempat yang istimewa dalam jiwa orang Melayu.
“Orang menegur bagaimana Utusan menjadi alat politik Umno untuk menyerang musuh politiknya.
“Oleh yang demikian andai kata editorialnya lebih berfikir dan menjurus kepada kepentingan bangsa dan negara keseluruhannya saya harap ia dapat diselamatkan,” kata Anwar.
Kerajaan bagaimanapun wajar memastikan kakitangan syarikat itu mendapat imbuhan dan pampasan yang sewajarnya, katanya.
Semalam, kakitangan Utusan melancarkan piket di luar bangunan syarikat itu di Jalan Utusan, berikutan kegagalan syarikat membayar gaji mereka antara Jun hingga Ogos lalu.
Maklumat dari kakitangan Utusan semalam juga menyatakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo akan dihentikan operasinya selepas penerbitan esok.
Keputusan dikatakan dibuat selepas Kumpulan Utusan menanggung kerugian purata sehingga RM3 juta sebulan sejak dua tahun lalu.
Sebelum pertemuan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Utusan Abd Aziz Sheikh Fadzir bersama kakitangan syarikat petang tadi, Utusan mengumumkan akan membayar RM2,000 kepada semua kakitangannya sebagai pendahuluan tunggakan gaji yang belum berbayar sejak Jun lalu. – 20 Ogos, 2019
Komen