3 bulan untuk penduduk bantah projek LRT Bayan Lepas


Zaim Ibrahim

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan menetapkan empat lokasi tetap dan enam lokasi bergerak di seluruh negeri untuk penduduk negeri itu memberi pandangan dan bantahan terhadap projek LRT di Bayan Lepas. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

KERAJAAN negeri Pulau Pinang menetapkan masa selama tiga bulan bermula 19 Ogos 2019 semalam untuk memberi peluang kepada penduduk negeri itu memberi pandangan dan bantahan terhadap projek transit aliran ringat (LRT) di Bayan Lepas.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow berkata kerajaan menetapkan empat lokasi tetap dan enam lokasi bergerak di seluruh negeri.

“Pemeriksaan awam adalah jemputan terbuka kepada semua pihak. Sama ada masyarakat awam, badan bukan kerajaan, dan pihak korporat dijemput untuk beri pandangan.

“Pegawai informasi juga ditempatkan di setiap lokasi untuk memberi taklimat membantu orang awam apa yang dipamerkan dan menjawab soalan-soalan serta memberi maklum balas,” kata beliau dalam satu sidang media di Komtar, Pulau Pinang.

Projek LRT Bayan Lepas merupakan salah satu projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bagi membina jajaran pengangkutan awam di seluruh negeri itu.

Projek ini melibatkan 27 stesen dengan jarak sejauh 29.9 km.

Empat lokasi pemeriksaan awam adalah di Komtar, Ibu Pejabat Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) di Bandar Perda, Ibu Pejabat Agensi Pengangkutan Awam (APAD) di Pulau Pinang, Bayan Baru dan Ibu Pejabat APAD Kuala Lumpur.

Enam lokasi bergerak akan berpindah daripada satu tempat ke tempat lain mengikut waktu perniagaan termasuk pada hari minggu dan cuti umum.

Chow Kon Yeow turut mengalu-alukan jika terdapat pihak yang membantah projek tersebut.

“Contohnya ada bantahan terhadap jajaran LRT di Masjid Sungai Nibong.

“Saya harap mereka boleh membantah mengikut saluran yang betul,” katanya.

Sementara itu berkenaan dana yang dimohon Kerajaan Negeri sebanyak RM10 billion daripada Kerajaan Persekutuan, beliau mengharapkan perkara itu dapat diumumkan oleh kerajaan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

RMK12 dijadualkan akan dibentangkan pada suku ketiga tahun depan.

“Ikut kelaziman sistem kewangan negara, projek-projek akan dipertimbangkan Rancangan Malaysia setiap lima tahun. Ini projek besar.

“Andai kata persekutuan setuju, maka saya percaya akan dimasukkan dalam RMK12. (Diharapkan) kita boleh mendapat keputusan positif daripada Kerajaan Persekutuan,” tambahnya.

Projek PTMP turut melibatkan tiga pulau buatan di Selatan Pulau Pinang dan pembinaan terowong bawah laut.

Pembinaan pulau seluas 1,800 hektar itu dibina bagi membiayai projek PTMP bernilai RM 48 juta.

Bagaimanapun projek itu mendapat bantahan keras masyarakat daripada pelbagai latar belakang kerana dipercayai ia akan menjejaskan pendapatan nelayan, kehidupan ekologi laut dan keadaan ekosistem Pulau Pinang. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen