MCA, MIC tidak dipinggir dalam kerjasama dengan PAS, kata Umno Selangor 


Diyana Ibrahim

Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, dua parti komponen BN itu dilihat tidak mempunyai masalah serta memahami tujuan kerjasama antara PAS dan Umno.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Ogos, 2019.

UMNO tidak akan meminggirkan parti komponen, MCA dan MIC dalam membentuk kerjasama bersama PAS, kata Pengerusi Umno Selangor Mat Nadzari Ahmad Dahlan.

Katanya, sudah ada perbincangan antara Umno dengan MCA dan MIC mengenai perkara itu dan dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu dilihat tidak mempunyai masalah serta memahami tujuan kerjasama tersebut.

“Walau sekarang ini nampak kombinasi antara PAS dan Umno bukan bermakna komponen MCA dan MIC dipinggirkan.

“Kami tidak sama sekali pinggir rakan MCA dan MIC. Semalam sudah ada perbincangan panjang dan mereka faham apa matlamat kita.

“Kami semua sepakat… objektif keseluruhan untuk berjaya kembalikan kemenangan dan tadbir Selangor,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Umno Selangor, di Shah Alam.

Jelasnya lagi, penyatuan Umno dan PAS sama seperti kaedah dilakukan parti Melayu itu sebelum merdeka, ketika negara mencapai kemerdekaan apabila kaum Melayu bersatu.

“Sebenarnya usaha ini berbalik kepada (keadaan) sebelum merdeka kerana kalau kita kuat, Melayu kuat macam dulu daripada 46 atau 41 persatuan jadi 1 persatuan dan kita capai kemerdekaan baru boleh bawa bangsa lain Cina, India.

“Jadi kali ini pun sama, kita nak formula sama, macam konsep 1946 (sebelum merdeka),” katanya.

Umno dan PAS akan menandatangani piagam muafakat kerjasama bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada 14 September ini.

Bagaimanapun April lalu, ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin berkata kerjasama Umno dan PAS perlu meliputi skop lebih luas dan tidak terhad kepada soal bangsa dan agama.

Beliau mengingatkan Umno dan PAS bahawa dua parti itu tidak boleh sampai ke tahap memusuhi kaum lain di Malaysia walaupun soal bangsa dan agama teras utama kerjasama. – 20 Ogos, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen